Sabtu, 11 Oktober 2008

Pilihan raya kampus: Mahasiswa bantah di Kementerian Pengajian Tinggi

PUTRAJAYA, 10 Okt (Hrkh) - Lebih 100 mahasiswa berhimpun di pekarangan bangunan Kementerian Pengajian Tinggi bagi menyampaikan tuntutan mereka khususnya mengenai Pilihan Raya Kampus (PRK) tidak lama lagi.

Iklan

Antara fokus utama perhimpunan anjuran Solidariti Mahasiswa Malaysia(SMM) pada kali ini adalah untuk mendesak KPT mengumumkan segera tarikh PRK secara rasmi.

Dengan laungan 'student power' yang bergema di seluruh parcel E, Putrajaya tersebut cukup untuk menggambarkan amarah dan semangat anak-anak muda di menara gading yang menuntut pilihan raya kampus dijalankan dengan suasana demokrasi yang sebenar.

Hujan yang turun rintik-rintik pada peringkat permulaan perhimpunan tersebut sedikitpun tidak mematahkan semangat mereka dengan kain rentang dan poster yang berbunyi ' Jangan permainkan kami', 'Kami mahu pilihan raya kampus telus', PRK : Kami demokrasi mahasiswa tidak rela diperbudakkan',

ImageMereka juga menyuarakan rasa tidak puas hati berhubung pelaksanaan pengundian secara online menerusi sistem pengundian e-voting dalam PRK akan datang yang dipercayai merupakan taktik untuk mengaburi keputusan PRK sebenar.

"Kami percaya sistem e-voting digunakan untuk menipu mahasiswa kerana mahasiswa tidak dibenarkan untuk melihat pengiraan undi dijalankan sedangkan berdasarkan peraturan pilihan raya, agen tempat pengiraan undi yang dilantik seseorang calon berhak untuk melakukannya," kata wakil Gamis dalam ucapannya.

Mahasiswa juga katanya, meminta agarpihak KPT khususnya pihak yang menguruskan PRK agar memindahkan pusat pembuangan undi daripada kolej kepada fakulti sepertimana yang pernah dibuat suatu ketika dahulu.

Perubahan pusat pengundian adalah dipercayai berpunca daripada kesukaran mereka untuk mencipta 'ruang' bagi melakukan penipuan terutamanya proses pengiraan yang kelihatan lebih mudah untuk diselia -sekaligus memberikan kebaikan kepada pihak pro mahasiswa.

wakil Solidariti Mahasiswa Malaysia, Hafizudin Abireirah pula menyifatkan PRK Imageyang dilaksanakan tidak ubah seperti pemilihan ketua kelas di sekolah dan tadika.

Sementara itu, menurut Koordinator Pendidikan Pengguna dan Masyarakat, Teras Pengupayaan Melayu, Zulzaidi Mahmud pula mahasiswa di kampus kini memerlukan keadilan dilaksanakan di dalam kampus tanpa perlu mengikut sahaja telunjuk pihak pentadbiran universiti.

"Mahasiswa perlu dibebaskan daripada kongkongan pentadbiran universti, bagi melaksanakan idealisme dan keadilan yang dituntut supaya dapat terlaksana sistem demokrasi tulen dalam masyarakat terpelajar.

"Ianya sekaligus menuntut agar perubahan dilakukan dalam sistem pemilihan pemimpin mahasiswa sperti mana yang berlaku dalam politik semasa tanah air pada masa sekarang," tegasnya.

Perhimpunan tersebut turut mengalami kekecohan selepas pihak keselamatan, Imageanggota polis serta sebuah trak kecil anggota simpanan Persekutuan atau FRU bertindak ganas untuk menyuraikan mahasiswa terbabit.

Pegawai Polis berpakaian preman serta pegawai-pegawai KPT pula ligat menjalankan peranan untuk merakamkan setiap aksi dan wajah mahasiswa yang turun menyertai perhimpunan tersebut untuk tujuan dokumentasi dan tindakan susulan selepas ini.

Walau bagaimanapun, ianya dapat dikawal sepenuhnya apabila Pegawai Khas Menteri KPT, Mohd Arif Adenan turun bagi menerima memorandum setebal 20 mukasurat itu.

Ianya disampaikan oleh wakil-wakil mahasiswa yang hadir di lobi bangunan KPT sambil disaksikan menerusi pintu kaca oleh kumpulan mahasiswa daripada luar.

Setelah selesai memorandum tersebut dicop sebagai tanda penerimaan secara rasmi oleh KPT, Mohd Arif menyatakan komitmennya kepada Harakah untuk Imagemenyerahkannya terus kepada menteri KPT, Dato' Seri Khaled Nordin yang kini berada di Johor Bahru.

"Saya akan terus menyampaikannya kepada dato' menteri memandangkan saya mengira hal ini adalah serius apabila mahasiswa datang beramai-ramai ke KPT menuntut hal ini diselesaikan dengan seberapa segera," katanya.

Ditanya mengenai tempoh untuk KPT memberikan maklum balas tersebut, beliau enggan mengulas sebaliknya menasihati mahsiswa agar menumpuhkan perhatian kepada akademik daripada melibatkan diri dengan urusan pemilihan MPP.

Perhimpunan diakhiri dengan nyanyian lagu negaraku sebelum sidang media oleh Pro Mahasiswa.

Turut disertai Gabungan Mahasiswa Islam SeMalaysiaa (Gamis), Dema,Persatuan Bahasa Tionghua Universiti Putra Malaysia, JKMI, Teras Pengupayaan Melayu dan Imagebeberapa front mahasiswa yang lain.

Tarikh PRK kini menjadi suatu teka-teki apabila ianya hanya digembar-gemburkan oleh media tertentu serta kata-kata tidak rasmi beberapa pimpinan tertinggi pentadbiran beberapa universiti.

Maklumat yang diterima Harakah, bahawa PRK kali ini akan dilaksanakan pada 12 hingga 17 Oktober bagi IPTA Pantai Timur dan Universiti Perguruan Sultan Idris, manakala bagi IPTA yang terletak di Lembah Klang pula akan dilaksanakan pada bulan Januari.

Bantahan terhadap tindakan KPT yang melambatkan tarikh tersebut timbul memandangkan kebanyakan MPP telah dibubarkan setelah ianya telah cukup tempoh 'pemerintahannya' selama setahun daripda tarikh PRK sesi lalu.

Untuk itu, mahasiswa juga meminta KPT melantik Mafrel, Suhakam, SPR dan NGO bagi memantau perjalanan PRK akan datang bagi mengelakkan berlakunya campurtangan selain memastikan perjalanan PRK kali ini berlangsung dalam suasana yang telus dan demokratik

0 ulasan:

Hakikat Post Terbaik


Sahabat

Hakikat Media