Rabu, 20 April 2011

Qadha Solat : Keharusan Yang Di Ringankan


Assalamu’alaikum W.B.T
Alhamdulillah, bersyukur atas rahmat Allah S.W.T atas segala limpah rahmatNya. Selawat dan salam buat junjungan besar kita Nabi Muhammad S.A.W . Sudah hampir sebulan lebih tak ‘up-date’ blog ni. Sibuk dengan program, kelas dan perkara lain. Tapi bila fikir kembali, diri ini tidaklah sesibuk pimpinan-pimpinan PAS dan orang hebat yang lain. Mereka ade jer masa nak ‘up-date’ blog masing-masing. Rasa kagum dengan kebijaksanaan mereka uruskan masa. InsyaAllah penulisan kali ini saya ingin berkongsi dengan sahabat-sahabat berkenaan Qadha Solat. Qadha ni apa ya? Bila qadha ni bole di lakukan?

Seringkali kita mendengar alasan yang di gunakan oleh orang yang meringan-ringatkan solat ini bercakap, “ Malaslah solat sekarang, nanti aku qadha lah”, “Letihlah sekarang, nanti aku qadha lah”. Adakah semudah itu kita menqadha solat?

Pengertian Qadha :

Menurut hukum syarak, setiap solat fardhu yang ditinggalkan wajib diqadha' sama ada disebabkan lupa, tidur atau orang murtad yang kembali semula kepada Islam setelah murtad.

Dari segi istilah fuqaha, qadha' ialah sesuatu (ibadah) yang dilakukan selepas berlalu waktu tunainya untuk mendapatkan sebagaimana yang sebelumnya dengan melakukannya secara qadha' atau mengerjakan semula ibadat-ibadat yang tidak sah, atau yang tertinggal atau sengaja ditinggalkan pada waktu-waktu yang lain.
Dalil keharusannya terlihat dalam hadis :

Dari Anas bin Malik Radhiallahu 'anhu , Nabi Muhammad Shallallahu 'alaihi wassalam (S.A.W) bersabda:
Maksudnya : Jika tertidur seseorang daripada kamu sehingga tertinggal solatnya ataupun terlupa mengerjakannya, maka hendaklah dia mendirikan solat yang tertinggal itu apabila dia sudah teringat, sesungguhnya Allah Subhanahu wa Ta'ala (S.W.T) telah berfirman:"Dirikanlah solat untuk mengingati Aku". (Hadits riwayat Muslim)

Inilah dalil yang menyatakan akan kebenaran Allah S.W.T kepada qadha solat. Akan tetapi Hukum harus mengqadha' solat itu bukanlah sebagai satu kelonggaran yang membolehkan seseorang itu meninggalkannya dengan sengaja sehingga habis waktunya walaupun berhasrat untuk mengqadha'nya pada waktu yang lain. Sebab-sebab meninggalkan solat itu boleh dibahagikan kepada dua bentuk yang masing-masing ada kaitan dengan hukum, iaitu:

• Pertama : Meninggalkan solat kerana keuzuran. Orang seperti ini tidaklah berdosa kerana terluput waktu solat bukan dengan kehendak atau kelalaiannya, akan tetapi wajib ke atasnya qadha' solat yang luput itu dan sunat disegerakan qadha'nya.

• Kedua : Meninggalkan solat tanpa ada keuzuran seperti malas atau melalai-lalaikan sehingga luput waktunya. Maka orang seperti ini berdosa tanpa diragukan lagi.

Contoh meninggalkan solat kerana keuzuran atau tanpa disengajakan itu seperti tertidur, terlupa dan seumpamanya sehingga habis waktu. Namun apabila terbangun daripada tidur atau teringat daripada lupa, maka dia wajib melakukan solat tersebut kerana kewajiban solat masih lagi ditanggungnya. Dalam sebuah hadits shahih , Abu Qatadah Radhiallahu 'anhu menceritakan mengenai dengan perjalanan mereka bersama Rasullullah Shallallahu 'alaihi wassalam . Dalam perjalanan itu mereka keletihan lantas tertidur. Apabila mereka terbangun daripada tidur waktu solat sudah pun berlalu. Mereka bertanya sesama sendiri, apakah kaffarah yang mesti dibayar atas kelengahan mereka melakukan solat. Rasullullah Shallallahu 'alaihi wassalam mendengar bisikan mereka lantas bersabda:

Maksudnya: Sesungguhnya di dalam tidur tidak ada kelalaian. Sesungguhnya kelalaian itu ke atas seseorang yang tidak melakukan solat sampai habis waktunya. Maka sesiapa yang melakukan demikian, segeralah dia solat ketika dia ingat akannya. Maka pada hari esoknya hendaklah ia menunaikan solat ketika waktunya. (Hadits riwayat Muslim)

Dalam hadith yang lain pada kisah yang sama dikatakan bahawa Abu Qatadah Radhiallahu 'anhu menceritakan bagaimana Rasulullah S.A.W dan sahabat2 tidur dan tertinggal waktu solat Fajar/subuh didalam permusafiran. Mereka cuma sedar semasa matahari naik dan Abu Qatadah berkata :
"Maka Bilal pun mengazankan solat, maka Rasulullah bersolat 2 rakaat, kemudian baginda bersolat fajar/subuh, sebagaimana baginda melakukan pada setiap hari" [Sahih Muslim #681].

Walaupun terdapat pengecualian dalam melaksanakan tanggungjawab solat bagi orang yang sedang tidur, ini bukanlah bermakna sengaja tidur atau ditidur-tidurkan untuk mengelak atau mencari helah daripada melakukan solat pada waktunya dibenarkan. Adapun meninggalkan solat tanpa uzur syari'e atau meninggalkannya dengan sengaja seperti melalaikannya sehingga masuk waktu yang lain adalah berdosa dan wajib baginya mengqadha' dengan segera solat yang tertinggal tadi. Sibuk dengan apa urusan sekalipun bukanlah alasan untuk meninggalkan solat sehingga habis waktu. Malahan alasan malas untuk solat pada waktu yang masih ada bolehlah kita sifatkan sebagai dosa besar kerana meninggalkan solat dengan sengaja. Bagi situasi doktor yang melakukan pembedahan pada waktu di antara sebelum waktu zohor sehingga waktu asar atau sebelum masuk maghrib sehingga waktu isya’, mereka ini tidaklah perlu untuk mengqadha solat, akan tetapi mereka perlu menjamakkan solat mereka. Ianya berlandaskan hadith :

Ibn Abbas berkata: "Nabi Muhammad pernah mnjamakkan antara zuhur dan asar serta antara maghrib dan isya' di Madinah bukan sebab musafir dan hujan. Ibn Abbas ditanya: "Mengapa Nabi Muhammad melakukannya?" Baginda berkata: "Baginda mahu memberi kelapangan kepada umatnya". (Sahih Muslim)

Walaupun begitu sakit tidaklah termasuk antara sebab-sebab yang membolehkan seseorang itu tidak menunaikan solat sebagaimana yang diriwayatkan daripada Imran bin Hushain Radhiallahu 'anhu , beliau berkata:

Maksudnya: Aku menghidap buasir, maka aku bertanya kepada Nabi Shallallahu 'alaihi wassalam tentang solat. Maka Baginda bersabda: "solatlah berdiri, dan jika engkau tidak mampu, maka duduklah, dan jika engkau tidak mampu, maka solatlah dengan mengiring". (Hadits riwayat al-Bukhari)

Maka cukup jelaslah buat kita, kita tidak boleh sewenang-wenangnya meninggalkan solat dan meringan-ringankan solat. Ibarat sebuah bangunan, jika tiang itu tidak dipasak dengan kukuh maka runtuhlah bangunannya. Sama seperti kita umat Islam, Solat adalah tiangnya, maka jika kita tidak menjaga solat, maka kita ini adalah insan yang meruntuhkan Islam dalam diri dan ianya ibarat Islam pada nama sahaja. Moga sama-sama mengambil iktibar dan merubah diri kearah menuju Mardhatillah.

2 ulasan:

LiFe KaMi berkata...

sembahyanglah kamu sebelum kamu disembahyang kan..

20 April 2011 pada 9:56 PTG
fuad ansari berkata...

Benarlah bak kata Iman Al-Ghazali..

Benda yang paling ringan di dunia adalah meninggalkan sembahyang..

21 April 2011 pada 11:58 PG

Hakikat Post Terbaik


Sahabat

Hakikat Media