Sabtu, 1 September 2012

Fitrah Eidulfitri dan Merdeka

Allahu Akhbar, Allahu Akhbar, Allahu Akhbar
Alhamdulillah, bersyukur kita kepada Allah S.W.T tuhan sekalian alam yang mengurniakan nikmat iman dan Islam. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W keluarganya dan para sahabatnya. Kita bersyukur kepada Allah S.W.T kerana dapat merayakan Eidulfitri selepas sebulan kita beribadah puasa. Seharusnya madrasah Ramadhan yang kita lalui mampu mentarbiyyah diri untuk menjadi insan bertaqwa kepada Allah S.W.T selaras dengan falsafah Ramadhan yang dinyatakan oleh Allah S.W.T :  
"Wahai orang-orang yang beriman, telah diwajibkan ke atas kamu puasa sebagaimana telah diwajibkan ke atas orang-orang sebelum kamu, mudah-mudahan kamu bertaqwa" (Al Baqarah:183)
.
 Sebagaimana yang ditegaskan bahawa puasa disyariatkan bagi mencapai maqsud taqwa. Maka sambutan hari raya mestilah selari dengan apa yang di tuntut oleh syarak. Anas r.a menceritakan: “ Ketika Rasulullah S.A.W berhijrah ke Madinah, ada dua hari raya yang disambut meriah oleh penduduknya. Maka Baginda bersabda yang bermaksud: 

“Sesungguhnya Allah menggantikan untuk kamu dua hari yang lebih baik daripada itu, iaitu Eiduladha dan Eidulfitri .” (Hadis riwayat Abu Daud dan An-Nasa'i)

 Jelas di sini, Eidulfitri bagi umat Islam bukan sekadar satu perayaan, adat atau budaya. Eidulfitri merupakan anugerah Allah S.W.T sebagai tanda kasih dan rahmat-Nya kepada semua hamba-Nya yang taat serta ikhlas menjalankan ibadat puasa di bulan Ramadan. Maka seharusnya kita menyambut hari raya berteraskan konsep ketaqwaan. Bukan menyambutnya seperti kembali ke zaman jahiliyyah yang dipenuhi kepuasan nafsu, pembaziran, hiburan melampau dan tiada adab dalam pergaulan.

 Eidlufitri & Merdeka
Hakikat yang perlu untuk kita sedari bahawa Eidul Fitri diertikan sebagai ‘Kepulangan seseorang kepada fitrah asalnya yang suci‘. Dalam erti kata lain, kita kembali kepada fitrah bertuhankan Allah, memerdekakan diri daripada penguasaan syaitan dan nafsu. Sesungguhnya kita selaku manusia diberi ruang dan peluang oleh Allah untuk memilih ke arah taqwa atau fasik. Persoalannya sekarang jalan mana yang dipilih oleh kita dan bagaimana kita melalui jalan itu? Seharusnya jalan yang dipilih itu menyuntik kekuatan untuk memerdekakan diri daripada kemaksiatan dan kemurkaan Allah S.W.T. Firman Allah dalam ayat 7 dan 10 surah as-Syams :

Maksudnya : Demi diri manusia dan Yang menyempurnakan kejadiannya (dengan kelengkapan yang sesuai dengan keadaannya); Serta mengilhamkannya (untuk mengenal) jalan yang membawanya kepada kejahatan, dan yang membawanya kepada bertaqwa; Sesungguhnya berjayalah orang yang menjadikan dirinya – yang sedia bersih – bertambah-tambah bersih (dengan iman dan amal kebajikan), Dan sesungguhnya hampalah orang yang menjadikan dirinya – yang sedia bersih – itu susut dan terbenam kebersihannya (dengan sebab kekotoran maksiat).

Alhamdulillah Eidulfitri tahun ini disambut dengan kemeriahan sambutan kemerdekaan negara kali ke 55. Dalam kemeriahan itu, perlu untuk kita sedari adakah kita ini benar-benar sudah merdeka atau tidak. Terkadang kita merasakan kita sudah merdeka, tetapi malang sekali kita masih dijajah dan dizalimi oleh taghut moden. Apakah yang dimaksudkan dengan taghut moden ini?  

Kezaliman Taghut Moden
Taghut dari segi istilah ialah mereka yang melangkaui batas dengan menyamakan hak mereka sama dengan hak Allah dan malah menjadi sekutu bagi Allah S.WT. Allah S.W.T menegaskan untuk kita menghindari taghut dalam firmanNya yang bermaksud :

  “Dan sesungguhnya telah Kami bangkitkan di kalangan setiap umat itu seorang Rasul supaya ( menyeru) hendaklah kamu menyembah Allah dan jauhilah taghut.” (Al-Nahl :36)

 Dalam konteks moden kini, istilah taghut antara lainnya boleh dikaitkan dengan kelompok yang berpaksikan kepada pemikiran sekularisme, membudaya hedonism dan penganjur kehidupan penuh bebas tanpa sempadan. Belenggu kezaliman taghut moden ini menyebabkan kita meletakkan kebergantungan kita bukan lagi kepada Allah. Mungkin sahaja diletakkan ke atas pemerintah, para artis dan cendiakawan. Jika dari sudut pemikiran, taghut moden ini menyebabkan pemisahan agama dengan kehidupan samada dari sudut politik,ekonomi, hiburan dan perkara-perkara lain berkaitan. Natijah daripada belenggu kezaliman taghut moden ini melihatkan manusia lari dari fitrah asal insan, budaya seks bebas, pembuangan anak yang berleluasa, penceraian yang meningkat, ibubapa yang ditinggalkan, penyalahgunaan kuasa, rasuah dan banyak lagi. Jelas, kesemuanya berpunca daripada kemerdekaan yang dikecapi tidak berlandaskan fitrah suci yang hakiki.  

Kesimpulan
 Merdeka dan Eidulfitri tidak boleh dipisahkan. Kembali kepada fitrah yang suci serta bebaskan diri dari godaan syaitan dan desakan nafsu adalah KPI tarbiyyah Ramadhan yang mesti dipenuhi. Semoga sambutan Eidulfitri dan kemerdekaan Malaysia yang ke 55 ini mendatangkan rahmat dan keberkatan kepada kita supaya kita berjaya menjadi insan yang bertaqwa kepada Allah S.W.T dan bermanfaat kepada negara serta masyarakat.

0 ulasan:

Hakikat Post Terbaik


Sahabat

Hakikat Media