Selasa, 21 Julai 2009

AMANAH : Pengajaran Dari Isra' wa Mikraj


Salam Kunjungan,Salam Mahabbah,Salam Ukhwah...
Tanggal 27 Rejab meninggalkan sejarah penting untuk umat Islam keseluruhannya. Pada tarikh inilah Nabi Muhammad S.A.W di isra’kan dari Masjid Al-Haram ke Masjid Al-Aqsa dan kemudiannya mikraj yang mana Rasulullah S.A.W naik ke Hadhratul-Qudus menemui Allah S.W.T. Selepas dari itu maka solat yang difardhukan kepada kita ada 5 kesemuanya. Dalam peristiwa ini jugalah Rasulullah S.A.W telah diperlihatkan dengan pelbagai perkara aneh dan ganjil. Hakikat Ketelusan kali ini membawakan salah satu daripada perkara yang diperlihatkan kepada baginda iaitu mengenai AMANAH. Dalam ketika nabi di isra’kan, baginda telah diperlihatkan akan lelaki yang menghimpun seberkas kayu dan dia tak terdaya memikulnya, tapi ditambah lagi kayu yang lain. Lalu Rasulullah S.A.W diberitahu oleh Jibrail: Itulah orang tak dapat menunaikan amanah tetapi masih menerima amanah yang lain
Sahabat-sahabat yang dirahmati Allah,
Amanah berasal dari akar kata bahasa Arab daripada perkataan iman. Ini bermakna bahawa sifat amanah mempunyai hubungan yang amat rapat dengan iman seseorang. Dalam erti kata lain, orang yang beriman pasti memiliki sifat amanah, manakala orang yang tidak amanah bererti tidak ada kesempurnaan iman dalam dirinya walaupun lidahnya menyatakan beriman kepada Allah. Dalam hal ini, Allah berfirman maksudnya:
Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengkhianati (amanah) Allah dan Rasul-Nya, dan (janganlah) kamu mengkhianati amanah-amanah kamu, sedangkan kamu mengetahui (salahnya). (Surah al-Anfal, ayat 27)
Dalam pada itu, Rasulullah S.A.W juga menegaskan dengan sabdanya yang bermaksud:
Tiada iman (sempurna) bagi orang yang tidak memegang amanah dan tiada agama bagi orang yang tidak dapat dipegang janjinya. (Hadis riwayat Ahmad & Dailami)
Maka jelaslah kita bahawa amanah adalah satu perkara yang sangat besar dan berat. Seperti yang diperlihatkan kepada Rasulullah S.A.W tentang orang yang tidak memikul amanah dengan baik, amat besar kemukaan Allah S.W.T kepada mereka. Akan tetapi budaya meminta-minta amanah tetapi tidak dilaksanaklan ini semakin menular. Budaya ini bukan sahaja berlaku di arena politik negara, malahan di syarikat-syarikat dan terus menular ke dalam kampus meresapi jiwa mahasiswa. Persoalannya mengapa jawatan ini diminta? Adakah diri yakin dengan kebolehan atau kerana ada kelebihan disebalik jawatan yang disandang? Dimana ketelusan sebuah sifat kepimpinan yang bertunjangkan amanah dengan berpaksikan keimanan?

Saya kecilkan skop di dalam kampus. Apabila ada pilihanraya kampus, banyak manifestor-manifestor yang dicanangkan oleh para calon. Akan tetapi apabila sudah menang tidak pula dilaksanakan, kalau diusahakan tetapi tidak berjaya kita faham la,tapi dah la tak usaha, tidak berfikir untuk melaksanakan pun. Hanya bertanding sebab ingin dapat kelebihan yang akan diberikan oleh pihak Universiti, bukan berniat untuk menegakkan Islam. Bukan setakat MPM sahaja, malahan persatuan-persatuan lain turut tidak terkecuali termasuklah PMI. Andaikata didalam diri pimpinan PMI itu sendiri tidak menjalankan tanggungjawab dan amanah yang diberikan maka perlulah dia mengkaji balik dasar Islam. Seharusnya PMI inilah lebih faham tentang amanah dan mereka inilah yang menjadi penerang kepada masyarakat kampus. Pada kebiasaanya kita akan mendengar kenyataan bahawa “saya tidak layak, saya tak de bakat memimpin” Saya juga pernah berkata sedemikian dulu, tapi cuba kita susuli peristiwa perlantikan Saidina Abu Bakar a.s ketika beliau menggantikan tampuk pemerintahan peninggalan Rasulullah S.A.W beliau turut berkata yang beliau tidaklah yang terbaik tetapi beliau tetap berusaha untuk yang terbaik dalam memgang amanah. Persoalan layak atau tidak sememangnya bergantung kepada diri, kalau diri rasa yakin maka boleh lah dia. Akan tetapi pandangan dari orang sekeliling juga adalah penentu kelayakannya. Andaikata orang sekelililng menyatakan dia layak, maka orang yakin dengan kebolehan dia untuk memegang amanah. Peringatan juga ingin saya berikan kepada diri dan sahabat-sahabat, jangan kita perbanyakkan bebanan amanah sedangkan amanah yang ada belum lagi kita selesaikan. Akan tetapi andaikata kalau tiada pilihan lain dan terpaksa untuk kita memikulnya pikullah ia dengan bertunjangkan keimanan. Semoga kita tergolong dalam golongan mereka yang menjaga amanah dan mendapat rahmatNya sentiasa.Amiin

0 ulasan:

Hakikat Post Terbaik


Sahabat

Hakikat Media