Khamis, 7 Februari 2013

Insan Unggul Sepanjang Zaman

Assalamu'alaikum sahabat2...

Sekian lama tidak menulis, INI KALILAH permulaan menulis kembali. Coretan tahun baru ini di mulakan dengan penulisan tentang Idola yang merupakan susuk tubuh yang tidak asing bagi kita.Beliau dilahirkan di Kota Makkah pada 12 Rabiul Awwal, susuk tubuh yang menggegarkan dunia jua akhirat ini mempunyai akhlaq terpuji dan disanjungi kawan dan lawan. Beliau adalah Muhammad s.a.w. junjungan besar dan penghulu bagi sekalian nabi.
Ketokohan, kepimpinan, kehambaan, ketaqwaan dan ketabahan baginda s.a.w. merupakan ikutan utama ummatnya bertepatan dengan firman Allah s.w.t. yang bermaksud:

“Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang).” (Al-Ahzab: 21).

 Di antara sifat-sifat baginda s.a.w. ialah:

1)Siddiq (Benar)
Pada diri Rasulullah s.a.w. bukan hanya perkataannya yang benar, malah perbuatannya juga benar, yakni sejalan dengan ucapannya. Malahan mustahil bagi Rasulullah s.a.w. itu bersifat pembohong, penipu dan sebagainya. Maksud firman Allah ta’ala:  

“Dan tiadalah yang diucapkannya itu (Al-Quran) menurut kemahuan hawa nafsunya. Ucapannya itu tiada lain hanyalah wahyu yang diwahyukan kepadanya.” ( An-Najm: 4~5)

2)Amanah (Integriti)
Sifat amanah ini turut diakui oleh penduduk Makkah sehingga memberi gelaran kepada Nabi Muhammad s.a.w. dengan gelaran ‘Al-Amin’ yang bermaksud ‘yang dipercayai’, jauh sebelum beliau diangkat menjadi seorang Rasul. Jika satu urusan diserahkan kepadanya, nescaya orang percaya bahawa urusan itu akan dilaksanakan dengan sebaik-baiknya. Apa pun yang beliau ucapkan, dipercayai dan diyakini penduduk Makkah kerana beliau terkenal sebagai seorang yang tidak pernah berdusta. Masa kini, kalimah yang mungkin tepat adalah integriti.

 3)Tabligh ( Menyampaikan)
Sifat ini sinonim dengan tugasan baginda s.a.w. untuk menyeru ke arah kebaikan dan memberi peringatan kepada yang mengingkari perintah agama. Segala firman Allah s.w.t. yang ditujukan kepada manusia, disampaikan oleh baginda s.a.w. tanpa ada yang disembunyikan walaupun ianya menyinggung diri baginda sendiri. Firman Allah yang bermaksud:  

“Supaya Dia mengetahui, bahawa sesungguhnya rasul-rasul itu telah menyampaikan risalah-risalah Tuhannya, sedang ilmu-Nya meliputi apa yang ada pada mereka, dan Dia menghitung segala sesuatu satu persatu.” (Al-Jin: 28)

4)Fathonah (Bijaksana)
Baginda s.a.w. menguasai dan menyampaikan ayat Al-Quran malahan menjelaskan secara terperinci dalam hadith. Apatah lagi Baginda mampu mengatur umatnya sehingga berjaya mentransformasi bangsa Arab Jahiliah yang asalnya kurang berilmu, kasar, bengis, berpecah-belah serta sentiasa berperang antara suku, menjadi satu bangsa yang berbudaya dan berpengetahuan. Itu semua memerlukan kebijaksanaan yang luar biasa.

5)Kepemimpinan berkarisma
Rasulullah s.a.w. pernah bersabda mengenai kepimpinan. Nabi bersabda yang bermaksud:  

“Setiap kamu adalah pemimpin, dan setiap pemimpin adalah bertanggungjawab terhadap apa yang dipimpinnya.”(Riwayat Muslim)

Rasulullah mempunyai visi dan matlamat terhadap apa yang ingin dibawa. Malahan visi ini dijadikan matlamat hidup bagi para pengikutnya sehingga akhir zaman. Berkeyakinan tinggi, berpengaruh, mahir dalam berpolitik, bijak dalam berkomunikasi dan kesemua ciri kepimpinan yang di gariskan oleh cendikiawan Islam dan barat berkenaan dengan kepimpinan, ada dalam diri Rasulullah s.a.w.

6)Romantik
Rasulullah S.A.W merupakan suami yang romantik. Bukan sahaja sering membantu memasak dan menjahit, malahan Rasulullah selalu bergurau senda dengan isteri-isteri baginda. Diriwayatkan dari Aisyah bahawa : 

“Nabi Muhammad SAW adalah orang yang penyayang lagi lembut. Baginda akan menjadi orang yang sangat lembut dan paling banyak menemani ketika isterinya sakit.” (Bukhari dan Muslim)

Sifatnya sebagai manusia biasa memberi peringatan kpd kita bahawa kita sememangnya mampu menuruti setiap gerak dan langkah baginda s.a.w. Setiap apa yang ditinggalkan bukan untuk dikaji semata-mata. Ia lebih daripada itu. Marilah kita melakukan sebanyak mungkin sifat dan sikap yang ditunjuk oleh Rasulullah s.a.w. sebagai manusia unggul sepanjang zaman.

0 ulasan:

Hakikat Post Terbaik


Sahabat

Hakikat Media