Memaparkan catatan dengan label Da'wah. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Da'wah. Papar semua catatan

Insan Unggul Sepanjang Zaman

Assalamu'alaikum sahabat2...

Sekian lama tidak menulis, INI KALILAH permulaan menulis kembali. Coretan tahun baru ini di mulakan dengan penulisan tentang Idola yang merupakan susuk tubuh yang tidak asing bagi kita.Beliau dilahirkan di Kota Makkah pada 12 Rabiul Awwal, susuk tubuh yang menggegarkan dunia jua akhirat ini mempunyai akhlaq terpuji dan disanjungi kawan dan lawan. Beliau adalah Muhammad s.a.w. junjungan besar dan penghulu bagi sekalian nabi.
Ketokohan, kepimpinan, kehambaan, ketaqwaan dan ketabahan baginda s.a.w. merupakan ikutan utama ummatnya bertepatan dengan firman Allah s.w.t. yang bermaksud:

“Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang).” (Al-Ahzab: 21).

 Di antara sifat-sifat baginda s.a.w. ialah:

1)Siddiq (Benar)
Pada diri Rasulullah s.a.w. bukan hanya perkataannya yang benar, malah perbuatannya juga benar, yakni sejalan dengan ucapannya. Malahan mustahil bagi Rasulullah s.a.w. itu bersifat pembohong, penipu dan sebagainya. Maksud firman Allah ta’ala:  

“Dan tiadalah yang diucapkannya itu (Al-Quran) menurut kemahuan hawa nafsunya. Ucapannya itu tiada lain hanyalah wahyu yang diwahyukan kepadanya.” ( An-Najm: 4~5)

2)Amanah (Integriti)
Sifat amanah ini turut diakui oleh penduduk Makkah sehingga memberi gelaran kepada Nabi Muhammad s.a.w. dengan gelaran ‘Al-Amin’ yang bermaksud ‘yang dipercayai’, jauh sebelum beliau diangkat menjadi seorang Rasul. Jika satu urusan diserahkan kepadanya, nescaya orang percaya bahawa urusan itu akan dilaksanakan dengan sebaik-baiknya. Apa pun yang beliau ucapkan, dipercayai dan diyakini penduduk Makkah kerana beliau terkenal sebagai seorang yang tidak pernah berdusta. Masa kini, kalimah yang mungkin tepat adalah integriti.

 3)Tabligh ( Menyampaikan)
Sifat ini sinonim dengan tugasan baginda s.a.w. untuk menyeru ke arah kebaikan dan memberi peringatan kepada yang mengingkari perintah agama. Segala firman Allah s.w.t. yang ditujukan kepada manusia, disampaikan oleh baginda s.a.w. tanpa ada yang disembunyikan walaupun ianya menyinggung diri baginda sendiri. Firman Allah yang bermaksud:  

“Supaya Dia mengetahui, bahawa sesungguhnya rasul-rasul itu telah menyampaikan risalah-risalah Tuhannya, sedang ilmu-Nya meliputi apa yang ada pada mereka, dan Dia menghitung segala sesuatu satu persatu.” (Al-Jin: 28)

4)Fathonah (Bijaksana)
Baginda s.a.w. menguasai dan menyampaikan ayat Al-Quran malahan menjelaskan secara terperinci dalam hadith. Apatah lagi Baginda mampu mengatur umatnya sehingga berjaya mentransformasi bangsa Arab Jahiliah yang asalnya kurang berilmu, kasar, bengis, berpecah-belah serta sentiasa berperang antara suku, menjadi satu bangsa yang berbudaya dan berpengetahuan. Itu semua memerlukan kebijaksanaan yang luar biasa.

5)Kepemimpinan berkarisma
Rasulullah s.a.w. pernah bersabda mengenai kepimpinan. Nabi bersabda yang bermaksud:  

“Setiap kamu adalah pemimpin, dan setiap pemimpin adalah bertanggungjawab terhadap apa yang dipimpinnya.”(Riwayat Muslim)

Rasulullah mempunyai visi dan matlamat terhadap apa yang ingin dibawa. Malahan visi ini dijadikan matlamat hidup bagi para pengikutnya sehingga akhir zaman. Berkeyakinan tinggi, berpengaruh, mahir dalam berpolitik, bijak dalam berkomunikasi dan kesemua ciri kepimpinan yang di gariskan oleh cendikiawan Islam dan barat berkenaan dengan kepimpinan, ada dalam diri Rasulullah s.a.w.

6)Romantik
Rasulullah S.A.W merupakan suami yang romantik. Bukan sahaja sering membantu memasak dan menjahit, malahan Rasulullah selalu bergurau senda dengan isteri-isteri baginda. Diriwayatkan dari Aisyah bahawa : 

“Nabi Muhammad SAW adalah orang yang penyayang lagi lembut. Baginda akan menjadi orang yang sangat lembut dan paling banyak menemani ketika isterinya sakit.” (Bukhari dan Muslim)

Sifatnya sebagai manusia biasa memberi peringatan kpd kita bahawa kita sememangnya mampu menuruti setiap gerak dan langkah baginda s.a.w. Setiap apa yang ditinggalkan bukan untuk dikaji semata-mata. Ia lebih daripada itu. Marilah kita melakukan sebanyak mungkin sifat dan sikap yang ditunjuk oleh Rasulullah s.a.w. sebagai manusia unggul sepanjang zaman.
Read More

Fitrah Eidulfitri dan Merdeka

Allahu Akhbar, Allahu Akhbar, Allahu Akhbar
Alhamdulillah, bersyukur kita kepada Allah S.W.T tuhan sekalian alam yang mengurniakan nikmat iman dan Islam. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W keluarganya dan para sahabatnya. Kita bersyukur kepada Allah S.W.T kerana dapat merayakan Eidulfitri selepas sebulan kita beribadah puasa. Seharusnya madrasah Ramadhan yang kita lalui mampu mentarbiyyah diri untuk menjadi insan bertaqwa kepada Allah S.W.T selaras dengan falsafah Ramadhan yang dinyatakan oleh Allah S.W.T :  
"Wahai orang-orang yang beriman, telah diwajibkan ke atas kamu puasa sebagaimana telah diwajibkan ke atas orang-orang sebelum kamu, mudah-mudahan kamu bertaqwa" (Al Baqarah:183)
.
 Sebagaimana yang ditegaskan bahawa puasa disyariatkan bagi mencapai maqsud taqwa. Maka sambutan hari raya mestilah selari dengan apa yang di tuntut oleh syarak. Anas r.a menceritakan: “ Ketika Rasulullah S.A.W berhijrah ke Madinah, ada dua hari raya yang disambut meriah oleh penduduknya. Maka Baginda bersabda yang bermaksud: 

“Sesungguhnya Allah menggantikan untuk kamu dua hari yang lebih baik daripada itu, iaitu Eiduladha dan Eidulfitri .” (Hadis riwayat Abu Daud dan An-Nasa'i)

 Jelas di sini, Eidulfitri bagi umat Islam bukan sekadar satu perayaan, adat atau budaya. Eidulfitri merupakan anugerah Allah S.W.T sebagai tanda kasih dan rahmat-Nya kepada semua hamba-Nya yang taat serta ikhlas menjalankan ibadat puasa di bulan Ramadan. Maka seharusnya kita menyambut hari raya berteraskan konsep ketaqwaan. Bukan menyambutnya seperti kembali ke zaman jahiliyyah yang dipenuhi kepuasan nafsu, pembaziran, hiburan melampau dan tiada adab dalam pergaulan.

 Eidlufitri & Merdeka
Hakikat yang perlu untuk kita sedari bahawa Eidul Fitri diertikan sebagai ‘Kepulangan seseorang kepada fitrah asalnya yang suci‘. Dalam erti kata lain, kita kembali kepada fitrah bertuhankan Allah, memerdekakan diri daripada penguasaan syaitan dan nafsu. Sesungguhnya kita selaku manusia diberi ruang dan peluang oleh Allah untuk memilih ke arah taqwa atau fasik. Persoalannya sekarang jalan mana yang dipilih oleh kita dan bagaimana kita melalui jalan itu? Seharusnya jalan yang dipilih itu menyuntik kekuatan untuk memerdekakan diri daripada kemaksiatan dan kemurkaan Allah S.W.T. Firman Allah dalam ayat 7 dan 10 surah as-Syams :

Maksudnya : Demi diri manusia dan Yang menyempurnakan kejadiannya (dengan kelengkapan yang sesuai dengan keadaannya); Serta mengilhamkannya (untuk mengenal) jalan yang membawanya kepada kejahatan, dan yang membawanya kepada bertaqwa; Sesungguhnya berjayalah orang yang menjadikan dirinya – yang sedia bersih – bertambah-tambah bersih (dengan iman dan amal kebajikan), Dan sesungguhnya hampalah orang yang menjadikan dirinya – yang sedia bersih – itu susut dan terbenam kebersihannya (dengan sebab kekotoran maksiat).

Alhamdulillah Eidulfitri tahun ini disambut dengan kemeriahan sambutan kemerdekaan negara kali ke 55. Dalam kemeriahan itu, perlu untuk kita sedari adakah kita ini benar-benar sudah merdeka atau tidak. Terkadang kita merasakan kita sudah merdeka, tetapi malang sekali kita masih dijajah dan dizalimi oleh taghut moden. Apakah yang dimaksudkan dengan taghut moden ini?  

Kezaliman Taghut Moden
Taghut dari segi istilah ialah mereka yang melangkaui batas dengan menyamakan hak mereka sama dengan hak Allah dan malah menjadi sekutu bagi Allah S.WT. Allah S.W.T menegaskan untuk kita menghindari taghut dalam firmanNya yang bermaksud :

  “Dan sesungguhnya telah Kami bangkitkan di kalangan setiap umat itu seorang Rasul supaya ( menyeru) hendaklah kamu menyembah Allah dan jauhilah taghut.” (Al-Nahl :36)

 Dalam konteks moden kini, istilah taghut antara lainnya boleh dikaitkan dengan kelompok yang berpaksikan kepada pemikiran sekularisme, membudaya hedonism dan penganjur kehidupan penuh bebas tanpa sempadan. Belenggu kezaliman taghut moden ini menyebabkan kita meletakkan kebergantungan kita bukan lagi kepada Allah. Mungkin sahaja diletakkan ke atas pemerintah, para artis dan cendiakawan. Jika dari sudut pemikiran, taghut moden ini menyebabkan pemisahan agama dengan kehidupan samada dari sudut politik,ekonomi, hiburan dan perkara-perkara lain berkaitan. Natijah daripada belenggu kezaliman taghut moden ini melihatkan manusia lari dari fitrah asal insan, budaya seks bebas, pembuangan anak yang berleluasa, penceraian yang meningkat, ibubapa yang ditinggalkan, penyalahgunaan kuasa, rasuah dan banyak lagi. Jelas, kesemuanya berpunca daripada kemerdekaan yang dikecapi tidak berlandaskan fitrah suci yang hakiki.  

Kesimpulan
 Merdeka dan Eidulfitri tidak boleh dipisahkan. Kembali kepada fitrah yang suci serta bebaskan diri dari godaan syaitan dan desakan nafsu adalah KPI tarbiyyah Ramadhan yang mesti dipenuhi. Semoga sambutan Eidulfitri dan kemerdekaan Malaysia yang ke 55 ini mendatangkan rahmat dan keberkatan kepada kita supaya kita berjaya menjadi insan yang bertaqwa kepada Allah S.W.T dan bermanfaat kepada negara serta masyarakat.
Read More

Hakikat Fasa Terakhir Ramadhan

Tarbiyyah Ramadhan mendidik kita untuk menjadi insan bertaqwa telah membuatkan kita melazimi tadarus dan membaca Al-Quran. Sejarah telah membukti kebangkitan pemuda bermula dari asas kefahaman al-Quran yang tinggi. Selain dari Rasulullah S.A.W dan para sahabat r.hum, contoh pemuda yang hatinya dekat dengan Al-Quran ialah Sultan Muhammad Al-Fateh pembuka kota Constantinople yang khatam Al-Quran seawal usia mudanya. Kecintaan terhadap Rasulullah S.A.W dan rasa kebertanggungjawaban beliau pada hadis pembukaan Constantinople membuatkan beliau bersama tenteranya berjaya membuka Constantinople pada usianya selaku pemuda. Seorang lagi ialah Salahuddin Al-Ayubi pembebas Palestin, ini juga pemuda quran yang seharusnya dijadikan model ikutan kita. Salahuddin pernah berkata,

"Ketika Allah menganugerahkan aku bumi Mesir, aku yakin DIA juga bermaksud Palestin untukku. Ini menyebabkan DIA memenangkan perjuangan Islam".
Pemuda & Al-Qadr
Alhamdulillah dalam kesibukan kita seharian,akhirnya kita tiba pada 10 hari terakhir di bulan Ramadhan. Fasa inilah terdapat malam yang dikatakan Allah S.W.T melipat gandakan pahala menyamai 1000 bulan seperti mana firman Alah S.W.T dalam surah Al Qadr ayat 1-3 yang bermaksud: 

“Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada (malam) Lailatul Qadar. Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran Lailatul Qadar itu?. Lailatul Qadar itu adalah malam yang lebih baik daripada seribu bulan.
Perbahasan yang panjang tentang tarikh bila berlaku Lailatul Qadr ini, namun tidak juga kita ketahui tarikh sebenarnya, akan tetapi Rasulullah S.A.W bersabda:
 “Carilah Lailatul Qadar pada malam-malam ganjil dari sepuluh malam terakhir bulan Ramadhan.”- (Hadis riwayat Bukhari)
Isyarat dari Rasulullah S.A.W itu menggambarkan kemungkinan tarikh lailatul qadar itu pada malam 21,23,25,27 atau 29. Wallahualam.. Yang pasti seharusnya hadis tadi cukup menaikkan semangat kita selaku pemuda untuk memenuhi masjid dengan beriktikaf dan qiamulail serta istiqomah membaca al-quran agar berjaya mencapai malam al-qadr. Inilah generasi pemuda yang diharapkan lahir hasil dari madrasah Ramadhan.
Lailatul Qadr vs Lailatul Kamdar
Bukanlah Kamdar mahupun Jakel hatta Gulatis House yang ingin disalahkan, namun jika kita lihat pada 10 malam terakhir inilah masjid semakin lengang sedangkan Jalan Tunku Abdul Rahman, Jusco, Sogo dan yang seangkatan dengannya ni dipenuhi umat Islam yang semangat membeli persiapan raya sehingga melepaskan peluang mendakap lailatul qadar. Dalam masa yang sama juga kita dapat lihat bagaimana pemuda yang seharusnya menjadi benteng utama Islamyang siangnya alim berpuasa tetapi malamnya bersama yang bukan muhrimnya bermesra-mesraan membeli pakaian raya sedondon.

Tidak salah untuk membeli pakaian raya, akan tetapi utamakan ibadah terlebih dahulu. Selesai solat isya' dan tarawikh berjemaah serta tadarus, pergilah membeli belah. Akan tetapi janganlah bercampur di antara lelaki dan perempuan. Juga yang penting selepas membeli ingat untuk beriktikaf di Masjid serta bersahur dan melakukan solat sunat dan subuh secara berjemaah. Daripada Uthman Bin Affan r.a berkata, Sabda Rasulullah S.A.W:

"Barangsiapa yang solat isyak berjamaah maka seakan-akan dia telah solat sunat setengah malam. Dan barangsiapa solat subuh secara berjamaah maka seakan-akan dia telah melaksanakan solat malam satu malam yang penuh." (Hadis riwayat Muslim).

Juga daripada Saidatina Aishah r.ha,Rasulullah S.A.W bersabda:
"Solat dua rakaat (sebelum) Solat Subuh itu lebih baik daripada dunia dan segala isi buminya" (Hadis riwayat Muslim)
Kesimpulan
Akhirnya saya mengingatkan buat diri juga sahabat2 agar sama2 kita manfaatkan fasa terakhir Ramadhan ini dengan pertingkatkan amalan-amalan soleh agar berjaya mendakap lailatul qadr dan sekaligus berjaya merealisasikan falsafah Ramadhan yang dipegang dengan tercapainya KPI Ramadhan itu sendiri.



Read More

BADAR KUBRA IBRAH YANG ISTIMEWA


Kesetiaan Saidina Abu Bakar, Saidina Omar dan Miqdad  Al-Aswad disambut oleh Sa’ad Bin Muaz lalu berdiri dan berkata dengan kata-kata yang memberi keyakinan pada Rasulullah S.A.W 
 
“Kami telah beriman kepada Anda. Kami telah membenarkan Anda. Andaikan Anda bersama kami terhalang lautan lalu Anda terjun ke dalam lautan itu, kami pun akan terjun bersama Anda.” Sa’ad r.a juga mengatakan, “Boleh jadi Anda bimbang, jangan-jangan kaum Ansar tidak mau menolong Anda kecuali di perkampungan mereka (Madinah). Sesungguhnya aku berbicara dan memberi jawaban atas nama orang-orang ansar. Maka dari itu, majulah seperti yang Anda kehendaki….” 
 
Kata-kata yang dilafazkan oleh seorang sahabat Rasulullah S.A.W ini menaikkan semangat para sahabat untuk bertempur di medan Badar. Strategi  perang yang dicaturkan oleh Rasulullah S.A.W di patuhi oleh para sahabat, berkat doa Rasulullah S.A.W di malam syahdu 17 Ramadhan tahun ke 2 Hijrah melihatkan Allah S.W.T menurunkan bantuan tentera di kalangan malaikat bagi membantu Rasulullah S.A.W bersama 313 orang tentera Islam bagi memerangi 1000 orang tentera kafir Quraisy. Ketaqwaan kepada Allah S.W.T meresap ke dalam jiwa parajurit. Tentera Islam senantiasa menyebut “Ahad(Esa)! Ahad(Esa)! Ahad(Esa)! sambil menghayun pedang ke arah tentera kuffar yang ramai. Seorang demi seorang syahid di jalan Allah, namun Rasulullah S.A.W terus memberi semangat kepada tenteranya dengan sabdanya yang bermaksud:
 
“Demi Allah, tidaklah seseorang memerangi mereka pada hari ini, kemudian dia terbunuh dengan sabar dan mengharap pahala serta terus maju dan pantang mundur, melainkan pasti Allah akan memasukkannya ke dalam surga.” Mendengar ini, tentera Islam semakin berkobar-kobar semangatnya. 
 
Kemenangan Bagi Kaum Muslimin 
 
Akhirnya pasukan musyrikin dikalahkan dan terpaksa berundur. Pasukan kaum muslimin berhasil membunuh dan menangkap beberapa orang di antara mereka. Ramai pembesar-pembesar Quraisy yang terkorban antaranya Abu Jahal yang dibunuh oleh 2 orang pemuda Mu'az bin Ammar bin Jamooh dan Mu'az bin Afra. Selain terbunuh ramai di kalangan tentera dan pembesar Quraisy melarikan diri kembali ke Makkah. 70 orang kaum Quraisy terbunuh dan 70 yang lain tertawan. Manakala tentera Islam pula hanya 14 yang syahid (6 dari Muhajirin dan 8 dari Ansar). Tentera Islam mendapat kemenangan dari sebab keteguhan dan ketabahan hati mereka. Demikianlah perang badar, pasukan kecil mampu mengalahkan pasukan yang lebih besar dengan izin Allah. Allah berfirman, 
 
“…Betapa banyak golongan yang sedikit dapat mengalahkan golongan yang banyak dengan izin Allah. Dan Allah beserta orang-orang yang sabar.” (Al Baqarah: 249) 
 
Keistimewaan Badar 
 
Tiap kali Ramadhan tiba pasti perang ini menjadi sebutan. Malahan dalam nasyid dan selawat juga terdapat cerita berkenaannya. Mengapa perang ini begitu istimewa? Apa yang perlu kita fahami selaku abna’ul harakah (pendokong gerakan Islam)dari perang Badar ini? Berikut adalah sebahagian daripada keistimewaannya:-
 
Pertama, kerana Rasulullah S.A.W beserta pasukannya mengalami kemenangan meskipun hanya berjumlah 313 orang sahabat menentang 1000 orang tentera Quraisy. Ini mengingatkan kepada kita bahawa yang sedikit bukan ukuran untuk mudah dikalahkan, yang penting kesungguhan, keutuhan jati diri, kerjasama, perancangan yang hebat dan tawakkal sepenuh hati kepada Allah S.W.T. Ini semua menjadi punca kepada sesuatu kejayaan.
 
Kedua, Baginda mengadakan mesyuarat terlebih dahulu sebelum berangkat ke Badar dan begitu juga ketika menentukan nasib para tawanan yang berjumlah seramai 70 orang, Baginda meminta pandangan dua orang sahabatnya yang terdekat iaitu Saidina Abu Bakr dan Saidina Omar Bin al-Khattab untuk menyelesaikan masalah tersebut. Pengajaran utama buat kita agar bermesyuarat terlebih dahulu dalam membuat keputusan besar.
 
Ketiga, usaha berdoa sebelum dan semasa perang Badar terjadi menunjukkan peranan doa yang diajarkan oleh Baginda menjadi teras dan pemangkin sebelum dan ketika sesuatu tindakan dibuat, ia bertujuan untuk mendapatkan keredaan dan restu Allah. Ini adalah azimat penting buat setiap ahli jemaah.
 
Keempat, walaupun menghadapi suasana getir dalam peperangan, ia sedikitpun tidak menghalang umat Islam daripada terus berpuasa, apatah lagi ia merupakan arahan Rasulullah dan pelengkap kepada rukun Islam yang lima.
 
Kelima, keterbukaan Rasulullah S.A.W menerima pandangan sahabat ketika mencatur strategi. Sesungguhnya tindakan Baginda itu tidak sedikitpun mengurangkan kedudukannya sebagai seorang pemimpin tertinggi umat Islam. Ini mendidik kita agar setiap pemimpin berlapang dada dan bersifat terbuka dalam menerima pandangan dari ahli.
 
Keenam, kepatuhan kepada arahan pimpinan yang tidak berbelah bagi dalam perkara yang tidak menyanggah agama, menjadi faktor utama keberhasilan mendapatkan kejayaan. Perang Badar seharusnya mendidik kita selaku jundi untuk taat dan wala' kepada kepimpinan dan tidak menjadi ahli yang menentang dan menurut kepala sendiri kerana tidak bersetuju dengan pemimpin.
 
Ketujuh, mengetahui sumber peralatan perang pihak musuh seperti pengetahuan Nabi terhadap bilangan unta yang dimiliki tentera Quraisy boleh membantu melancarkan strategi peperangan. Sekaligus mengajar kita untuk mengumpul dan menguasai data pihak musuh sebelum berhadapan dengan mereka.
 
Kelapan, menghantar wakil bertemu pihak musuh dari kalangan individu yang hebat seperti Saidina Hamzah, Saidina Ali boleh menggerunkan pihak musuh, kerana mereka beranggapan bahawa pihak umat Islam memiliki pasukan perang terkuat yang sukar dikalahkan. Seharusnya kita juga bijak melatih petugas untuk menjadi hebat ketika berhadapan dengan pihak musuh.
 
Kesembilan, menghalakan niat dan matlamat perang menghadapi musuh adalah kerana Allah dan meninggikan syiar-syiar agama-Nya, bukan atas tujuan meraih harta dan habuan dunia yang melalaikan. Perkara seperti ini kebiasaanya mudah dinyatakan pada bibir ahli, andai hatitidak di jaga pasti nafsu mengalihkan niat dan matlamat ikhlas kita.
 
Kesepuluh, cara berfikir yang bernas patut dilontarkan ketika mengadakan sesuatu perbincangan untuk mencari jalan penyelesaian seperti yang dilakukan oleh Abu Bakar dan Omar bagi menyelesaikan isu tawanan perang. Setiap dari ahli jemaah seharusnya berfikiran kritis dan mampu melontarkan idea yang bernas.
 
Kesebelas, menstrategikan perancangan bagi menghadapi pihak lawan ketika dalam perjalanan menuju ke Badar. Cadangan strategi perang untuk menguasai mata air dan sumur membuahkan hasil yang baik untuk tentera Islam. Lantaran ini mendidik kita samada kepimpinan mahupun ahli mestilah stategis dalam mencatur perancangan.
 
Keduabelas, semangat para pemuda mempertahankan Allah dan Rasulullah yang ditonjolkan oleh Saidina Ali, Mu'adz bin Afra dan Mu'adz bin Ammar dalam menentang musuh di Badar. Pemuda adalah benteng utama jemaah, sewajibnya pemuda terlebih dahulu tampil kehadapan dengan semangat dan ilmu pengetahuan yang tinggi bagi mempertahankan jemaah.
 
 
Kesimpulan 
 
Keimanan, ketabahahan, kesetiaan dan kesabaran menjadi kayu ukur ketaqwaan para ahli Badar dan ini seharusnya menjadi pencetus motivasi buat kita. Dari permulaan peristiwa sehingga pengakhiran perang Badar ini memberikan banyak pengajaran buat kita. Bermula dari perancangan yang strategik sehinggalah pendambaaan syahid oleh ahli Badar seharusnya kita jiwai dan tidak kita lupa supaya menjadi pedoman harian di bulan Ramadhan ini, seterusnya dalam kehidupan seharianselagi nyawa dikandung badan.
Read More

Akhlaq Berorganisasi



"Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredhaan) Allah dan (balasan baik) Hari Akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang)."
[al-Ahzab 33:21]

Islam itu datang bersama akhlaq. Seperti yang dinyatakan dalam ayat Al-Quran di atas bahawa Rasulullah S.A.W itu di utuskan sebagai ikutan buat ummatnya.  Akhlaq sangat penting bagi kita ummat Islam. Malahan ianya juga menjadi silang fungsi bagi pembentukan mukmin.  Dalam Islam kita cukup faham aqidah dan ibadah adalah perkara asas utama dalam Islam. Akan tetapi ianya tidak lengkap tanpa akhlaq. Ibaratnya seperti sebuah rumah.. Aqidah merupakan asas dan tapak kepada rumah, ibadah merupakan dinding rumah manakala akhlaq merupakan atap kepada rumah tersebut.

Akhlaq Dalam Organisasi.

Kata-kata yang cukup masyur dari Saidina Umar r.a

 "Tidak tertegak Islam melainkan dengan usaha berjama’ah. Tidak bermakna jama’ah melainkan dengan pimpinan. Dan tidak bermakna kewujudan pimpinan kecuali diberi keta’atan oleh anggota kepadanya".

Dalam kita berorganisasi pasti ada pemimpin(qiadi) dan yang dipimpin (jundi). setiap dari mereka memainkan peranan masing-masing dalam menghidupkan dan menggerakkan sesebuah organisasi. Dalam banyak perkara yang di catur dan strategi pengurusan yang dibentuk, ianaya pasti akan pincang atau lemah tanpa ada akhlaq dalam berorganisasi. Bagi seorang yang berorganisasi, seharusnya 10 muwasaffat tarbiyyah yang di gariskan oleh As-Syahid imam Hassan Al-Banna hasil dari rujukan Al-Quran dan As-Sunnah seharusnya di jadikan penerapan dalam diri kita. Malahan ianya disokong lagi dengan 10 rukun baiah seharusnya menjadikan seseorang yang berorganisasi baik ianya qiadi atau jundi lebih berperanan dan amanah.

Lumrah dalam adik beradik pasti ada sikit pertelingkahan, begitu juga dalam kita berorganisasi. Persoalan yang timbul ialah bagaimana akhlaq kita menyelesaikan konflik? Perlukan kita meninggikan suara kepada orang yang lebih tua dari kita? Perlukah kita canang dan dedahkan kebencian kita serta keaiaban pemimpin kita di dalam media,blog atau sebagainya? Adakah ini akhlaq yang kita pelajari dari Rasulullah S.A.W? Bukankah Rasulullah S.A.W melarang kita meninggikan suara kepada orang tua, menutup aib sahabat, memaafkan orang lain serta berlapang dada?

Imam Ghazali r.a mengatakan:

"Akhlak ialah suatu keadaan yang tertanam di dalam jiwa yang menampilkan perbuatan-perbuatan dengan senang tanpa memerlukan pemikiran dan penelitian. Apabila perbuatan yang terkeluar itu baik dan terpuji menurut syara dan aqal, perbuatan itu dinamakan akhlak yang mulia. Sebaliknya apabila terkeluar perbuatan yang buruk, ia dinamakan akhlak yang buruk."


Saya mohon maaf andai ada yang tidak bersetuju dengan huraian saya, tetapi saya minta kita selaku umat Rasulullah S.A.W harus fikir untuk mencontohi teladan Rasulullah S.A.W. Buangkan ego kita yang menebal dalam berorganisasi, tingkatkan rasionalsi dan kurangkan emosi dalam memimpin, utamaka kepentingan umum berbanding kepentingan diri dan sentiasalah mendekatkan diri kepada ilahi. Moga Allah S.W.T mengampunkan dosa kita dan memberi ruang untuk kita memegang amanah dengan bertanggungjawab serta lebih berakhlaq di dalm berorganisasi. Saya akhiri penulisan dengan sabda Rasulullas S.A.W :

"Sesungguhnya orang yang paling aku cintai di antara kalian dan yang paling hampir tempat duduknya dengan aku pada Hari Kiamat adalah orang yang paling baik akhlaknya. Dan sesungguhnya orang yang paling tidak aku sukai dan paling jauh tempat duduknya dari aku pada Hari Kiamat adalah orang yang banyak berbicara, bermulut besar dan sombong"  (Riwayat al-Tirmizi)


Read More

MAULIDUR RASUL : Sambutan Diingat Sunnah Dilupa

Alhamdulillah bersyukur kita ke hadrat Allah dengan nikmat iman,islam dan kehidupan yang di kurniakanNya. Selawat dan salam buat junjungan besar kita nabi Muhammad S.A.W. Semuanya bermula dengan usaha dakwah baginda S.A.W dalam menyambung tugas para nabi dalam menyampaikan masej dakwah dan kalimah tauhid. Tanpa pengorbanan yang baginda S.A.W bersama para sahabat r.hum mungkin kita hari ini berada dalam agama majusi, hindu, buddha mahupun kristian. Dengan usaha yang di bawa oleh baginda S.A.W maka kita dapat mengetahui dan memahami apa itu Islam,. Firman Allah S.W.T dalam surah At-Taubah ayat 33. 

Yang bermaksud: Dia lah yang telah mengutus RasulNya (Muhammad) dengan membawa petunjuk dan ugama yang benar (ugama Islam), untuk dimenangkan dan ditinggikannya atas segala ugama yang lain, walaupun orang-orang musyrik tidak menyukainya. 

Sambutan Diingat Sunnah Dilupa 

Alhamdulillah apabila tiba hari kelahiran Rasulullah S.A.W, pasti akan ada perarakan, selawat, ceramah dan program-program mengingati junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W. Akan tetapi malangnya, ianya berterusan selama seminggu sahaja, paling lama pun sebulan. Selepas tu selawat, masjid dan surau yang penuh kembali sepi. Tunggu maulidurrasul tahun depan pula baru orang kembali ke masjid dan berarak sambil berselawat. Ianya berterusan begitu dan rancangan tv juga pada awal maulidur rasul menayangkan cerita berunsur Islam, selepas seminggu kemudian rancangan maksiat dan budaya hedonisme kembali merancakkan arena hiburan tanah air. 
Sememangnya maulidur rasul ini tiada di zaman rasulullah dan sahabat, ini kerana pada ketika itu mereka menyayangi Rasulullah S.A.W malahan sentiasa mengamalkan sunnah baginda S.A.W. Akan tetapi zaman kita kini bagaimana? Tujuan kita mengadakan sambutan maulidur rasul adalah ingin mewujudkan kecintaan kita kepada Rasulullah. Zaman kini melihatkan kepada kita ada insan yang mengaku ummat Rasulullah S.A.W akan tetapi tidak pun mengetahui sirah dan tidak juga mengamalkan sunnah Rasulullah S.A.W. Zaman kini juga melihatkan manusia semakin tega melakukan maksiat malahan berbangga dengan kemaksiatan. Ianya semakin menepati sabda Baginda SAW bermaksud: 

 “Ketika dunia berada hampir di penghujungnya, kamu dapati maksiat dilakukan secara terang terangan. Zina dilakukan dengan sewenang-wenangnya persis seperti perilaku haiwan. Yang tinggal hanyalah manusia yang keji dan buruk perangainya. Ketika itulah berlakunya kiamat.” 
(Hadis riwayat Muslim) 

Sayang seribu kali sayang apabila sambutan maulidur rasul yang disambut secara besar-besaran tetapi tidak mengetuk pintu hati kecil kita untuk lebih mencintai Rasulullah S.A.W. Sunnah Rasulullah S.A.W semakin dilupai. Hari Jumaat yang hadir tidak diserikan dengan bacaan surah al-kahfi, pagi-pagi yang kita lalui tidak disemai dengan solat dhuha, zikir dan istighfar yang diamalkan oleh Rasulullah S.A.W telah diganti dengan muzik yang melalaikan..Sunnah yang paling besar malah ianya adalah tuntutan Allah S.W.T ialah meninggikan kalimah tauhid serta berkata benar kepada pemimpin yang zalim juga tidak kita laksanakan. Banyak lagi amalan sunnah Rasullah S.A.W yang kita tidak terapkan dalam kehidupan seharian. 

Mengakhiri penulisan saya pada kali ini, saya mengajak sahabat2 untuk kita sama2 bermuhasabah diri sejauh mana kasihnya kita kepada Rasulullah S.A.W. Sebanyak mana sunnah Rasulullah yang telah kita amalkan serta sedalam mana sirah Rasulullah S.A.W yang telah kita kuasai. Akhirnya marilah kita berpegang kepada apa yang disampaikan oleh Rasulullah S.A.W dan kita martabatkan kalimah tauhid sejajar dengan sabda Rasulullah S.A.W : 

“Aku tinggalkan kamu dua perkara, kamu tidak akan sesat selama mana kamu berpegang dengan kedua-duanya, iaitu kitab Allah (Al-Qur’an) dan sunnahku.” – Riwayat Abu Daud.
Read More

HIJRAH ITU PENGORBANAN

Salam Maal Hijrah,
Ketibaan bulan Muharam mengundang pengertian yang besar bagi umat Islam. Bulan Muharam inilah bulan yang dikatakan bulan Hijrah, bulan yang mana mengimbau kembali bagaimana penghijrahan Nabi Muhammad S.A.W bersama umat Islam Makkah atau di kenali sebagai kaum Muhajirin menuju ke Madinah Al-Munawarah yang mana disambut dan dibantu oleh kaum Ansor yakni penduduk Kota Madinah Al-Munawarah.

Hijrah itu menuntut pengorbanan. Malahan tanpa pengorbanan mungkin sahaja hijrah itu tidak dapat dijayakan. Sebagaimana yang di ketahui bagaimana Rasulullah S.A.W berhijrah ke Makkah melalui jalan jauh, Asma’ Abu Bakar r.ha membawa makanan untuk diberikan kepada Rasullullah S.A.W yang bersama ayahnya Saidina Abu Bakar r.a dalam keadaan sarat mengandung, kemudiannya kita ketahui Saidina Abu Bakar r.a di patuk ular ketika melindungi Nabi Muhammad S.A.W, ini semua adalah pengorbanan. Sahabat-sahabat r.ahum juga melalui proses pengorbanan yang tinggi dalam penghijrahan mereka. Salah seorangnya ialah Syuhaib Ar-Rumi yang mana sanggup mengorbankan segala hartanya yang banyak di Makkah untuk berhijrah ke Madinah dengan sehelai sepinggang atas tuntutan yang dilakukan oleh kaum musyrikin Makkah. Kisah penghijrahan beliau diceritakan di dalam Al-Quran, Allah S.W.T.berfirman, maksudnya:

"Dan di antara manusia ada orang yang mengorbankan dirinya kerana mencari keredhaan Allah dan Allah itu Maha Penyantun terhadap hamba-hambaNya" (al-Baqarah: 207)
 
Hijrah Zaman Moden

Sabda Rasulullah S.A.W :  

“Tiada hijrah selepas al-Fath (Pembukaan Makkah), tetapi jihad dan niat. Dan apabila kamu dikerah untuk keluar berjihad, maka keluarlah kamu” (Riwayat al-Bukhari, Muslim dan lain-lain)

Daripada Abdullah bin ‘Amru bin al-‘Aas, Nabi S.A.W bersabda yang maksudnya:

“Sesungguhnya hijrah ada dua unsur. Satu daripadanya ialah kamu meninggalkan kejahatan dan kedua kamu berhijrah kepada Allah dan Rasul-Nya. Dan tidak terputus hijrah selagi taubat diterima. Taubat akan terus diterima sehingga matahati terbit dari barat. Apabila matahari telah terbit dari barat, akan dicopkan ke atas setiap hati manusia apa yang telah ada padanya. Peluang beramal sudah tiada lagi.” (Riwayat Ahmad)

Menurut hadis ini, jelas kepada kita bahawa kita seharusnya melakukan proses penghijrahan niat dengan berjihad di jalan Allah S.W.T dalam kehidupan kita yang semakin mencabar ini. Dalam masa yang sama, perlu juga untuk kita fahami bahawa kita perlu melakukan perubahan dari kejahilan merangkumi setiap aspek hidup samada pemakaian, politik, pemikiran, dan keseluruhannya. Ianya juga merangkumi ideologi dari sekularisme kepada Islam yang syumul. Ini kerana hadis tersebut juga menyatakan kepentingan untuk kita berhijrah meninggalkan kejahatan dan kembali kepada Allah dan rasulNya walaupun ianya sukar untuk kita lakukan kerana ianya bercanggah dengan hawa nafsu yang inginkan hiburan dan kesenangan duniawi.

Hijrah adalah suatu bentuk perubahan yang memerlukan pengorbanan. Tanpa pengorbanan yang ikhlas, proses penghijrahan sukar untuk dilakukan.  Pengorbanan pula menuntut semangat jihad dan keyakinan yang tinggi dalam diri. Justeru, perubahan dan pengorbanan adalah suatu tuntutan hidup, iaitu berubah dari suatu yang buruk kepada yang baik, dari yang baik kepada yang terbaik.Oleh yang demikian marilah kita sama-sama menghayati bulan Muharam ini beserta pengertian pengorbanan agar kita dapat menghijrahkan diri kita untuk menjadi hamba Allah S.W.T dan umat Rasulullah S.A.W yang bertaqwa.
Read More

Nilai Pengorbanan


Allahu Akhbar,Allahu Akhbar, Allahu Akhbar..

Alhamdulillah bersyukur atas rahmat Allah S.W.T di atas rahmatNya masih lagi di kurniakan nikmat hidup dalam Islam, Iman dan Amal. Selawat dan salam buat junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W yang merupakan anak dua orang yang disembelih.

Saat eiduladha menjelang, pasti kita kembali menghayati sirah nabi Allah Ibrahim a.s bersama dengan pengorbanan nabi Ismail a.s. Maka kembali kita bermuhasabah adakah kita sanggup melakukan pengorbanan sebegitu besar?

Nilai Pengorbanan

Seseorang itu dimuliakan bukanlah disebabkan oleh apa yang dimilikinya, tetapi kerana pengorbanannya untuk memberikan manfaat untuk orang lain. Besarnya nilai sesebuah pengorbanan itu. Dengan pengorbanan itu Allah S.W.T menyayangi kita,dengan pengorbanan itu,insan menghargai kita dan dengan pengorbanan itu jualah malaikat berdoa memohon rahmat buat kita. Malahan dalam al-Quran sebegitu banyak ayat yang Allah turunkan yang berkait dengan pengorbanan sebagai bukti ketaqwaan kepada Allah S.W.T. Misalnya dalam surah hujurat ayat ke 15

"Sesungguhnya orang-orang yang sebenar-benarnya beriman hanyalah orang-orang yang percaya kepada Allah dan Rasulnya, kemudian mereka (terus percaya dengan) tidak ragu-ragu lagi, serta mereka berjuang dengan harta benda dan jiwa mereka pada jalan Allah; mereka itulah orang-orang yang benar (pengakuan imannya)."

Firman Allah S.W.T :

"Wahai orang-orang yang beriman , Adakah kamu suka Aku tunjukkan kepadamu suatu perniagaan yang dapat menyelamatkan kamu dari azab yang pedih. Iaitu kamu beriman kepada Allah dan rasulNya serta berjihad di jalan Allah dengan harta dan jiwamu. Itulah yang lebih baik bagi kamu jika kamu mengetahuinya. " (As-soff : 10-11)

Ini membuktikan bahawa Allah S.W.T sangat memuliakan mereka yang berkorban dalam erti kata lain berjuang/berjihad demi agama Allah S.W.T. Peri penting pengorbanan itu jugalah menyebabkan As-Syahid Imam Hassan Al Bana telah meletakkan pengorbanan ciri kelima dalam 10 Rukun Baiah.

Begitu juga dalam ibadah korban. Seperti yang jelas dinyatakan dalam al-Quran, bukanlah sembahan korban yang dijadikan tujuan akan tetapi keikhlasan dan ketaqwaan adalah ukurannya dalam pengorbanan untuk Allah S.W.T.
Firman Allah SWT;

Maksudnya;

“Daging-daging korban dan darahnya itu, sekali-kali tidak dapat mencapai (keredhaan) Allah, akan tetapi (keikhlasan) yang lahir dari ketaqwaan darimulah yang dapat mencapainya. Demikianlah Allah telah memudahkan bagimu (binatang korban itu) untuk kamu supaya kamu mengagongkan Allah lantaran petunjukNya kepadamu dan berilah berita gembira kepada orang-orang yang melakukan kebaikan.”
(Surah al-Haj : ayat 37)

Walaupun penulisan saya kali ini tidaklah mennyatakan falsafah eiduladha secara mendalam,atas kefahaman kita seharusnya falsafah eidul adha perlu dihadami dalam diri kita agar kita semakin ikhlas dan semakin bertaqwa kepada Allah S.W.T.. Moga Allah S.W.T mengampunkan segala dosa kita dan memberi kita ruang untuk kita melakukan pengorbanan yang besar untuk agamaNya sekaligus membuatkan pengorbanan kita bermanfaat buat insan lain khususnya dan persekitaran di sekeliling kita umumnya.

Salam ‘Eidul Adha..
Kullu Am Wa Antum Bikhior
Takaballahu Minna Wa Minkum..
Read More

Dzulhijjah Berbanding Yang Lain

Alhamdulillah bulan Dzulhijjah datang kembali, bila bulan ini datang, lagu panggilan haji dendangan Orkes El Suraya pasti akan kedengaran samada di radio mahupun di mana-mana tempat yang berunsurkan Islam. Maha Hebat Allah S.W.T yang menghimpunkan manusia sekian banyaknya di tempat Nabi Adam a.s, Nabi Ibrahim a.s dan Nabi Ismail a.s membina Kaabah. Tanah Haram Makkah Al-Mukaramah di penuhi oleh hamba-hamba Allah S.W.T yang bertakwa pada bulan ini. Tidak sekadar itu bulan Dzulhijjah ini juga mempunyai keutamaan yang tinggi sehingga Diriwayatkan dari Ibnu Abbas r.a dari Rasulullah S.A.W bersabda:

Tiada diantara hari-hari beramal soleh lebih dicintai oleh Allah S.A.W daripada sepuluh (10) hari ini, mereka (para sahabat) bertanya: tidak (juga) jihad dijalan Allah S.A.W? (bersabda): tidak juga jihad fisabilillah, kecuali seorang laki-laki yang keluar (jihad) dengan jiwa dan hartanya, lalu ia tidak kembali dari hal itu sesuatu pun.
(HR. Bukhori: 969)

Hadits ini menunjukkan atas keutamaan sepuluh hari pertama dari bulan dzulhijjah dibanding hari-hari setahun, kerana Rasulullah S.A.W menyaksikan hal itu dalam hadits ini, dan kerana beliau menganjurkan untuk beramal soleh pada hari-hari itu. Ianya tidak sekadar itu, malahan Allah S.W.T juga berfirman:

Demi fajar, dan malam yang sepuluh
– al-Fajr (89) : 1-2

Para ulama telah menafsirkan malam yang sepuluh itu sebagai malam-malam pada sepuluh hari yang pertama dalam bulan Zulhijjah. Imam Ibn Rajab r.h berkata:

“Malam-malam yang sepuluh adalah sepuluh hari Zulhijjah, inilah tafsiran yang benar dari majoriti ahli tafisr daripada kalangan salaf dan selain mereka. Dan tafsiran ini telah sahih pula (diterima) daripada Ibn ‘Abbas r.a.” – Ibn Rajab, Latha’iful Ma’arif, ms. 470. Penulis nukil dari buku Ensiklopedi Amalan Sunnah Dibulan Hijriyah.

Dengan itu, seharusnya kita fahami bahawa bulan Dzulhijjah ini memberi ruang kepada kita untuk lebih meningkatkan amalan2 kita. Banyakkanlah berzikir,membaca al-quran, berpuasa, melakukan solat2 sunat dan sentiasalah bersedekah kerana tuntutan Allah S.W.T jelas berkenaan keutamaan bulan Dzulhijjah ini. Tambahan pula Allah S.W.T banyak mengampunkan hamba2nya dalam bulan ini berdasarkan hadis :

Tiada suatu hari hari yang di dalamnya ALLAH menyelamatkan hamba-NYA dari neraka yang lebih ramai daripada hari Arafah iaitu tatkala ALLAH mendekat dan berbangga di hadapan para malaikat-NYA seraya berfirman: Apa yang mereka inginkan?” – Hadis riwayat Imam Muslim di dalam Sahihnya, no: 2402

p/s : maaf penulisan kali ini ringkas sgt..
Read More

MELESTARIKAN TARBIYYAH RAMADHAN

Alhamdulillah bersyukur kepada Allah S.W.T memberi kita ruang untuk bersama dalam bulan suci Ramadhan. Bulan mulia yang kita merasakan keberkahannya, penuh dengan maghfirah dan rahmat Allah S.W.T. Dalam erti kata lain,kita seharusnya telah berhasil menjalankan perintah Allah S.W.T dengan penuh keikhlasan. Kita telah berpuasa dan memperbanyakan ibadah semata-mata hanya kerana Allah S.W.T. Kita sepatutnya berbahagia, kerana di samping telah berhasil menabung pahala, dosa-dosa kita yang telah lalu juga InsyaAllah diampuni oleh Allah S.W.T. Sebagaimana hal ini dijamin oleh Rasulullah S.A.W dalam sabdanya:

"Barang siapa menjalankan ibadah puasa di bulan Ramadhan semata-mata kerana Allah dan mengharap ganjaran dari pada-Nya, maka diampunilah dosa-dosanya yang telah lalu." (Riwayat Bukhari)

Namun begitu persoalan yang timbul ialah bagaimanakah kita selepas kembali ke fitrah yang suci? Ramadhan adalah titik tolak kembali ke fitrah sejati. Madrasah Ramadhan melahirkan ketaatan kepada Allah S.W.T bukan hanya pada tahun tersebut sahaja, akan tetapi ianya berkekalan hingga tahun-tahun yang mendatang.

Pelajaran Dari Ramadhan
Tarbiyyah Ramadhan ini banyak mengajar dan membentuk kita menjadi peribadi yang mantap. Malahan dari Ramadhan setidak-tidaknyanya kita mendapat 3 pelajaran penting yang harus dipertahankan prestasinya dan dilestarikan dalam hidup seharian oleh setiap peribadi beriman, sehingga menjadi peribadi yang selalu bersih dan fitri, peribadi yang menjaga diri dan keluarganya dari api neraka sehingga dengannya pula kelak akan lahir masyarakat yang bersih pula.

Pelajaran Pertama : Mengendalikan Hawa Nafsu
Selama sebulan Ramadhan ini telah mendidik jiwa kita menjadi insan yang mampu menundukkan hawa nafsu dan mengendalikannya dari kemaksiatan. Hawa nafsu yang kuat menghambat manusia ini sebenarnya lemah dan ianya dibuktikan dengan pada bulan Ramadhan ini kita dapat mengendalikan nafsu dari menguasai kita. Dalam surat An Nazi’at ayat 40-41, Allah S.W.T menegaskan bahawa hanya dengan takut kepada Allah secara jujur seseorang dapat mengendalikan nafsunya, Allah berfirman:

"Dan adapun orang-orang yang takut kepada kebesaran Rabbnya dan menahan diri dari keinginan hawa nafsunya, Maka sesungguhnya surgalah tempat tinggal (nya)." (An Nazi’at: 40-41)

Ini menunjukkan bahwa dalam diri manusia ada dua kekuatan yang saling tarik menarik. Kekuatan nafsu dan kekuatan takut kepada Allah berupa iman. Bila takutnya kepada Allah lebih kuat, maka terkendalikanlah nafsu. Sebaliknya bila takutnya kepada Allah lebih lemah, maka nafsu akan lebih dominan. Bila nafsu yang dominan, maka ianya mengutamakan dunia di atas akhirat

Pelajaran Kedua : Menundukkan Syaitan
"Sesungguhnya syaitan itu adalah musuh bagimu, maka jadikanlah ia sebagai musuh, kerana sesungguhnya syaitan-syaitan itu hanya mengajak golongannya supaya mereka menjadi penghuni neraka yang menyala-nyala." (Fatir : 6)

Bulan Ramadhan melihatkan kepada kita bahawa syaitan ini lemah dan tidak berdaya. Ianya dibuktikan apabila kita dapati masjid dan surau hidup dan ramai orang berada di dalamnya untuk beribadah seperti qiamulail, tarawikh dan iktikaf. Tambahan pula, bulan Ramadhan ini juga kita terdengar suara mendengung orang-orang sedang membaca dan bertadarus Al-Qur’an di mana-mana sahaja. Sehinggakan Al-Quran telah dijadikan budaya pembacaan bagi masyarakat. Inilah kekuatan Ramadhan pada hati seorang mukmin yang dapat menundukkan syaitan musuh yang nyata.

Pelajaran Ketiga :Meninggalkan Dosa dan Kemaksiatan
Ramadhan adalah bulan perjuangan menjauhi dosa-dosa. Seharusnya kita telah berhasil membuktikannya selama Ramadhan untuk meninggalkan segala bentuk dosa dan kemaksiatan. Bahkan kita berusaha menjauhi sekecil apapun perbuatan yang sia-sia. Kita berusaha bersungguh-sungguh untuk menjadikan setiap detik memberikan makna dan menjadi ibadah kepada Allah SWT. Setiap saat lidah kita basah dengan dzikir, jauh dari pembicaraan dusta dan nista. Pandangan kita selalu tertuju kepada ayat-ayat Al Qur’an dan terjaga dari segala yang diharamkan. Langkah kaki kita senantiasa terhantar menuju masjid dan tangan kita banyak memberikan sedekah.

Kesimpulan
Ramadhan telah menjadi contoh kehidupan hakiki dan keperibadian hakiki seorang mukmin sejati. Itulah rahsia mengapa Allah SWT menjadikan amalan-amalan Ramadhan sebagai tangga menuju taqwa: la’allakum tattaquun? Ramadhan adalah teras kesedaran kepada pengabdian sebagai hamba Allah S.W.T. Pengakhiran dari Ramadhan itulah yang kita lihat bahawa kita telah kembali kepada fitrah yang hakiki..Kembali bersungguh-sungguh mentaati Allah dan mengagungkan-Nya. Kembali meramaikan masjid, mengajakan keluarga, anak-anak untuk menunaikan solat sebagai kewajiban kita kepada Allah S.W.T yang tidak boleh dilalaikan, mempelajari Al-Quran, membacanya dan memahaminya, mengendalikan nafsu dari dosa-dosa, menundukkan syaitan, menghidupkan malam-malam dengan qiyamullail, seperti suasana selama Ramadhan dan mengasihi saudara muslim serta memperbanyakkan sedekah.

Read More

Eidulfitri Dalam Perspektif Sunnah

ASSALAMU'ALAIKUM..
Alhamdulillah Eidulfitri kian tiba. Selepas kita berpuasa sebulan kini tiba saat kita merayakannya. Eidulfitri merupakan hari yang diharuskan kita bersuka ria dan menzahirkan kegembiraan. Eidulfitri membawa maksud pulang dalam keadaan fitrah. Fitrah maknanya bersih dan yang bersih adalah hati yang sudah dididik oleh tarbiah (pendidikan) Ramadhan. Maka dengan erti kata lain, tujuan kita berhari raya ialah bagi meraikan kejayaan kita berpuasa di bulan Ramadhan dalam masa yang sama mengekalkan momentum tarbiyyah Ramadhan yang mana maqasid (tujuan) utamanya iaitu menjadi insan yang bertaqwa kepad Allah S.W.T.

Eidulfitri Yang Di Tuntut

Sebagaimana yang ditegaskan bahawa puasa disyariatkan bagi mencapai maqasid taqwa. Maka sambutan hari raya mestilah selari dengan apa yang di tuntut oleh syarak. Anas r.a menceritakan:

“ Ketika Rasulullah S.A.W berhijrah ke Madinah, ada dua hari raya yang disambut meriah oleh penduduknya. Maka Baginda bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah menggantikan untuk kamu dua hari yang lebih baik daripada itu, iaitu Eiduladha dan Eidulfitri .” (Hadis riwayat Abu Daud dan An-Nasa'i)

Jelas di sini, Eidulfitri bagi umat Islam bukan sekadar satu perayaan, adat atau budaya. Ianya juga bukanlah hari yang direka-reka oleh manusia. Ia merupakan anugerah Allah S.W.T sebagai tanda kasih dan rahmat-Nya kepada semua hamba-Nya yang taat serta ikhlas menjalankan ibadat puasa di bulan Ramadan. Apa yang menyedihkan kita sekarang ialah segelintir daripada manusia melakukan banyak kesalahan dalam menyambut hari raya. Malahan ada yang menyambut hari raya seperti kembali ke zaman jahiliyyah menyambut raya.


Amalan Eidulfitri Mengikut Sunnah

Bertakbir.
Bertakbir pada tarikh 1 Syawal bersempena Aidilfitri merupakan suatu amalan yang disyariatkan. Takbir pada hari Aidilfitri bermula ketika terlihatnya hilal (anak bulan) dan berakhir setelah selesainya kemuncak hari raya, iaitu ketika imam selesai berkhutbah. Firman Allah S.W.T:

"Supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), supaya kamu membesarkan Allah (dengan bertakbir) kerana telah memberi petunjuk-Nya kepada kamu dan supaya kamu bersyukur." (Surah al-Baqarah:185)

Namun malang sekali pada waktu kini, amalan bertakbir sudah semakin kurang di adakan. Malahan hiburan pula yang semakin bertambah. Hiburan yang ditayangkan pula agak melampau sehinggakan kita lihat lelaki dan perempuan bergaul bebas di tambah dengan pemakaian yang tidak menutup aurat.


Lafaz ucapan selamat pada hari raya Aidilfitri.
Majoriti amalan umat Islam di Malaysia akan mengucapkan antara satu sama lain pada hari lebaran dengan ucapan ‘Selamat Hari Raya Aidil Fitri, Maaf Zahir dan Batin’. Namun, apa yang lebih bertepatan dengan amalan para salafussoleh dalam meneladani sunnah Nabi s.a.w adalah sebagaimana yang diceritakan oleh al-Hafiz Ibn Hajar al-'Asqalani r.h yang dinukilkan daripada Jubair bin Nufair r.a katanya:

“Apabila para sahabat Rasulullah s.a.w bertemu di hari raya, sebahagian mereka mengucapkan kepada yang lain ‘taqabbalullah minna waminka’ (Semoga Allah menerimaamalan kami dan amalanmu).”


Meneruskan qiamullail.
Jika sepanjang bulan Ramadan kita telah bersungguh-sungguh menghidupkan malam kita dengan pelbagai ibadah terutamanya solat qiyam Ramadan (solat tarawih), ia seharusnya diteruskan juga pada hari-hari berikutnya dengan mengerjakan solat tahajjud. Saranan ini tidak bermaksud mengkhususkan pada malam Eidulfitri untuk dikerjakan qiamullail. Apa yang cuba ditekankan di sini adalah semangat mengerjakan qiyam Ramadan (solat tarawih) haruslah diteruskan dengan mengerjakan qiamullail pada hari-hari berikutnya sesudah bulan Ramadan. Istiqomah itu indah maka teruskan amalan qiamulail ini sehingga kita bertemu Ramadhan akan datang.

Memakai pakaian yang indah.
Disunnahkan kaum muslimin menghiaskan diri dengan pakaian yang indah-indah pada hari raya. Bagi kaum wanita pula walaupun disunnahkan memakai pakaian yang terbaik, namun mereka hendaklah menghindari dari memakai pakaian yang nipis,menampakkan susuk badan dan bercorak-corak serta perhiasan yang berlebih-lebihan sehingga menarik perhatian golongan lelaki. Disunnahkan juga bagi kaum lelaki memakai wangi-wangian tetapi tidak disunnahkan kepada kaumwanita. Sabda Rasulullah S.A.W:

"Mana-mana wanita yang memakai wangian lalu dia melintas di hadapan lelaki supaya mereka dapat menghidu kewangiannya, dia adalah penzina." (Hadis riwayat al-Nasaai)

Namun begitu bukanlah bermakna kaum wanita harus membiarkan dirinya berbau busuk. Islam adalah agama yang menitik-beratkan kebersihan serta kesihatan diri. Dibenarkan bagi wanita untuk memakai wangian yang keharuman sekadar untuk menjaga dirinya dari berbau busuk dan tidak sehingga menarik perhatian orang di sekelilingnya. Haruman-haruman yang kuat dan boleh menaikkan nafsu berahi hanyalah khusus untuk suaminya.

Mengerjakan Solat Aidilfitri
Di antara syiar yang palin utama dalam menyambut Aidilfitri adalah perlakasanaan solat Aidilfitri sebanyak 2 rakaat oleh seluruh umat Islam. Ibn Abbas r.a berkata:


"Rasulullah s.a.w telah keluar pada hari raya Aidilfitri kemudian terus mengerjakan solat hari raya sebanyak dua rakaat. Baginda tidak melakukan sebarang solat sebelumnya dan sesudahnya." ( Hadis riwayat al-Bukhari)

Mengerjakan Puasa Sunat Enam Hari Pada Bulan Syawal
Sabda Rasulullah S.A.W:

"Sesiapa yang berpuasa pada bulan Ramadan lalu diiringi dengan puasa enam hari di bulan Syawal, seolah-olah dia telah berpuasa setahun." – (Hadis riwayat Muslim)

Demikianlah keutamaan puasa sunat enam hari di bulan Syawal. Hadis ini menjadi penguat bahawa Syawal yang datang menjadi pelengkap kepada penyempunaan Ramadhan yang sebelumya kita lakukan dalam mencapai ketaqwaan kepada Allah S.W.T

Terdapat banyak lagi perkara-perkara sunat yang dilakukan ketika menyambut Eidulfitri seperti berjalan kaki ke masjid untuk bersolat raya, mandi di pagi raya, dan makan sebelum menunaikan solat raya.

Penutup
Kesimpulannya, syawal menjadi penerus kepada maqasid puasa. Maka kita seharunya menyambut hari raya dalam keadaan tunduk bertakwa kepada Allah S.W.T. Inilah sebahagian daripada hukum-hakam dan amalan yang disunnahkan ketika menyambut bulan Ramadan al-Mubarak dan hari raya Eidulfitri menurut al-Quran dan sunnah yang sepatutnya dijadikan contoh ikutan bagi seluruh umat Islam. Janganlah kita mencemarkan tarbiyyah puasa yang kita ambil di bulan Ramadhan dengan melakukan dosa pula di waktu Syawal. Mudah-mudahan, sambutan hari raya Eidulfitri yang akan menjelma nanti disambut dengan penuh keikhlasan, kemeriahan dan selari dengan perintah Allah serta Rasul-Nya. Akhir kalam BUAT SEMUA MUSLIMIN MUSLIMAT


SELAMAT HARI RAYA MAAF ZAHIR & BATIN

Read More

LAILATUL QADAR : 1 PENCARIAN YANG DIBERKATI

Asslamu'alaikum w.b.t sahabat2..
Alhamdulillah tiba sudah kita pada fasa 10 hari terakhir Ramadhan. 10 akhir Ramadhan adalah merupakan di antara malam-malam yang penuh dengan keberkatan dan kelebihan yang tertentu. Malam-malam ini adalah merupakan malam yang ditunggu-tunggu oleh seluruh orang mukmin . Malam yang dikatakan Allah S.W.T melipat gandakan pahala menyamai 1000 bulan seperti mana firman Alah S.W.T dalam surah Al Qadr yang bermaksud:

“Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada (malam) Lailatul Qadar. Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran Lailatul Qadar itu?. Lailatul Qadar itu adalah malam yang lebih baik daripada seribu bulan. Pada malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala urusan(yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikutnya). Sejahteralah malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar.”

Bilakah Malam Al-Qadr?
Sebagaimana yang kita tahu, Lailatul Qadar sudah pasti akan berlaku pada bulan Ramadhan. Maka kita hendaklah berusaha mencari Lailatul Qadar ini pada 10 malam yang terakhir bulan Ramadhan. Ianya dinyatakan berdasarkan hadis Rasulullah S.A.W yang bersabda bermaksud:

“Carilah Lailatul Qadar pada malam-malam ganjil dari sepuluh malam terakhir bulan Ramadhan.”- (Hadis riwayat Bukhari)

Menghayati Lailatul Qadar
Kerana mulianya Lailatul qadar, Rasulullah S.A.W. menganjurkan supaya umatnya bersedia menyambut dan menghayati malam yang berkat itu dengan pelbagai jenis amalan dan ibadah yang diterangkan di antaranya hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a.

Maksudnya: "Barangsiapa menghayati malam Lailatulqadar dengan mengerjakan sembahyang dan berbagai jenis ibadat yang lain sedang ia beriman dan mengharapkan rahmat Allah taala nescaya ia diampunkan dosanya yang terdahulu".

Sepertimana yang dinyatakan dalam hadis tersebut, kita di tuntut untuk mengerjakan pelbagai jenis ibadah lain. Ibadah yang kita lakukan pada Lailatul Qadar ini pahala amalan akan dilipatkan gandakan oleh Allah. Kita bangun pada malam harinya untuk melakukan ibadah qiamulail dan kita melakukannya untuk mendapatkan keredhaan Allah. Segala ibadah yang kita lakukan dengan penuh keikhlasan akan diterima oleh Allah dan pahala akan dilipat gandakan.

Berdoa Beroleh Kesejahteraan & Keampunan Dosa
Pada Lailatul Qadar adalah di antara waktu-waktu yang mustajab untuk kita berdoa kepada Allah. Maka berdoalah kita agar diberikan kebahagian di dunia dan akhirat. Berdoalah keampunan buat ibu,bapa dan guru yang mendidik kita. Dalam masa yang sama Kita hendaklah sentiasa memohon keampuan kepada Allah di atas dosa-dosa yang telah kita lakukan. Malam Al Qadar adalah waktu yang sangat baik bagi kita membersihkan diri dari segala dosa-dosa yang pernah kita lakukan sebelum ini. Perbanyakkanlah bacaan istighfar kepada Allah dan melakukan solat sunat taubat. Semoga Allah akan memberi keampunan atas segala dosa-dosa yang telah kita lakukan. Lailatul qadar akan menjadi malam untuk kita suci dari segala dosa-dosa jika kita ikhlas memohon keampunan kepada Allah.

Saidatina Aishah r.ha bertanya kepada Rasulullah S.A.W, katanya :

“Ya Rasulullah S.A.W andainya aku mendapati malam lailatul qadar, apakah doa yang patut aku bacakan? “
Rasulullah S.A.W kemudian berdoa dengan doa :
“Ya Allah! Sesungguihnya Engkau Maha Pengampun, oleh itu berilah keampuanan-Mu untukku “

Membersihkan Jiwa Dengan mengingati Allah
Pada 10 malam terakhir bulan Ramadhan hendaklah kita lebih mendekatkan diri kepada Allah. Lailatul qadar adalah waktu yang paling baik untuk kita mendekatkan diri kepada Allah. Pada lailatul qadar ini hendaklah kita memperbanyakkan menyebut nama Allah dengan berzikir. Hati kita akan menjadi tenang apabila selalu menyebut nama Allah. Allah akan memberi ganjaran pahala yang besar kepada hamba-hambaNya yang beriman, yang banyak menyebut nama dan mengingatiNya pada lailatul qadar ini. Alunkan bacaan al-quran pada setiap malam-malam yang kita lalui dalam mencari lailatul qadar.

Sama-sama kita berusaha untuk mencari dan meningkatkan ketakwaan kepada Allah serta melakukan amal ibadah dengan penuh keikhlasan pada Lailatul Qadar bagi mendapatkan keberkatan yang ada pada malam itu. Semoga segala amal ibadah yang kita lakukan pada Lailatul Qadar ini akan diterima dan diberkati oleh Allah S.W.T.
Read More

RAMADHAN BULAN AL-QURAN


Sabda Rasulullah S.A.W :
“Puasa dan Al-Qur`an itu akan memberikan syafa’at kepada hamba di hari kiamat. Puasa akan berkata, ‘Ya Rabbi, aku telah menghalanginya dari makan dan syahwat, maka perkenankanlah aku memberikan syafa’at untuknya.’ Sedangkan Al-Qur`an akan berkata, ‘Ya Rabbi, aku telah menghalanginya dari tidur di malam hari, maka perkenankanlah aku memberikan syafa’at untuknya.’ Maka Allah Swt. memperkenankan keduanya memberikan syafa’at.”
(HR Imam Ahmad dan Ath-Thabrani).

Bulan Ramadhan mendapat banyak nama dan gelaran tersendiri. Selain di gelar bulan puasa di antara nama lain bulan Ramadhan ialah bulan Al-Quran dan bulan tilawah. Allah S.W.T telah memuliakan Ramadhan berbanding bulan-bulan yang lain dengan memilihnya sebagai bulan diturunkannya al-Qur’an Al-Karim. Keistimewaan ini diberikan oleh Allah kepada bulan Ramadhan sebagaimana dinyatakan melalui firman-Nya:

“...Bulan Ramadhan, bulan yang di dalamnya diturunkan al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan menjadi pembeza (di antara yang hak dengan yang bathil).”
(Surah al-Baqarah, 2: 185)

Penurunan Al-Quran

Tujuan Allah menurunkan al-Qur’an kepada Rasul kita Muhammad S.A.W demi untuk membimbing manusia ke jalan yang benar. Turunnya al-Qur’an merupakan peristiwa besar yang sekaligus menyatakan tinggi kedudukannya bagi penghuni langit dan bumi. Allah S.W.T menjelaskan bahawa al-Qur’an diturunkan pada malam yang penuh kemuliaan dan kesejahteraan, iaitu malam al-Qadr. Malam yang penuh dengan kebaikan melebihi seribu bulan. Ini sebagaimana firman-Nya:

“Sesungguhnya Kami telah menurunkannya (al-Quran) pada malam al-Qadr. Tahukah kamu apa dia malam al-Qadr? Malam al-Qadr adalah malam yang lebih baik dari seribu bulan.” (Surah al-Qadr, 97: 1-3)

Berdasarkan pengangan jumhur ulama, al-Qur’an diturunkan secara sekaligus ke langit dunia di Baitul ‘Izzah untuk menunjukkan kepada para malaikat-Nya bahawa betapa agungnya persoalan al-Qur’an ini. Seterusnya al-Qur’an diturunkan kepada Nabi S.A.W pertama kali pada al-Qadr. Kemudian secara beransur-ansur selama dua puluh tiga tahun bersesuaian dengan peristiwa-peristiwa yang mengiringinya bermula dari Baginda S.A.W diutus sehinggalah wafatnya. Ianya dinyatakan oleh Allah S.W.T melalui firmanNya:

“Dan al-Qur’an telah Kami turunkan dengan beransur-ansur agar kamu membacakannya perlahan-perlahan kepada manusia dan Kami menurunkannya bahagian demi bahagian.” (Surah al-Isra’, 17: 106)

Tadarus al-Qur'an


Bertepatan dengan turunnya al-Qur’an di bulan Ramadhan Maka kita dituntut untuk menyibukkan diri dengan bertadarus atau mentadabburinya. Maksud tadarus di sini adalah merujuk kepada membaca, mengulangkaji, mengajar, atau menyemak bacaan al-Qur’an.

Ibnu Abbas ra. meriwayatkan:
“Rasulullah SAW adalah orang yang paling dermawan. Beliau lebih dermawan lagi pada bulan Ramadhan di ketika Jibril ‘alaihis Salam datang menemui beliau. Jibril a.s selalu mendatangi baginda pada setiap malam bulan Ramadhan untuk membaca, mengajar, dan menyemak bacaan al-Qur’an bersama beliau. Ketika waktu tersebut, Rasulullah S.A.W lebih dermawan dari hembusan angin.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Malahan tuntutan untuk kita bertadarus dinyatakan melalui keutamaan berkumpul di masjid-masjid untuk mempelajari Al-Qur’anul Karim, Rasulullah S.A.W bersabda:

”Tidaklah berkumpul suatu kaum di salah satu rumah Allah seraya membaca kitab Allah dan mempelajarinya di antara mereka, kecuali turunlah ketenangan atas mereka, serta mereka diliputi rahmat, dikerumuni para malaikat dan disebut-sebut oleh Allah kepada para malaikat di hadapan-Nya. ” (HR. Muslim)

Justeru itu, maka seharusnya kita menjadikan bulan Ramadhan ini sebagai bulan untuk kita mempertingkatkan bacaan dan memperbetulkan bacaan al-Quran kita. Tatkala kita di madrasah tarbiyyah di bulan Ramadhan yang mulia ini, sewajarnya kita faham mentaddabbur al-Quran bukan hanya di bulan Ramadhan. Jangan dibiarkan al-Quran itu menjadi kitab usang umpama suci dalam debu yang hanya di baca ketika Ramadhan sahaja, tetapi pembacaan dan pentaddabburan al-Quran itu berterusan walaupun Ramadhan sudah berlalu.
Read More

Falsafah Ramadhan


Salam Ramadhan..

Ahlan wa sahlan ya ramadhan. Ramadhan yang kita rindui kini kunjung tiba lagi. Alhamdulillah atas kurniaan kasih sayang Ilahi masih kita di beri peluang untuk bertemu dengan bulan penuh barakah ini. Bercerita berkenaan Ramadhan,maka di situ ada falsafahnya tersendiri.

Setiap ibadah yang telah diwajibkan oleh Allah S.W.T ke atas kita seperti puasa, solat, zakat, haji dan lain-lain lagi, selain merupakan jalan untuk kita mendekatkan diri kita kepadaNya dan tunduk kepada perintahNya serta menyahut seruanNya, ibadah juga memiliki nilai-nilai sampingan yang amat penting kembali kepada diri kita sendiri mahupun kepada masyarakat. Ia akan memberi kesan yang positif dan tarbiyah yang baik untuk individu mahupun masyarakat keseluruhannya. Puasa adalah salah satu darinya yang memberi tarbiyah secara individu mahupun masyarakat.

Adalah hal yang disepakati bahawa perut adalah sumber penyakit. Puasa dari kesihatan membawa banyak manfaat bagi tubuh badan manusia. Sebahagian doktor-doktor pakar di barat dan India sering menganjurkan pesakit-pesakit mereka untuk melakukan puasa untuk menyembuhkan penyakit para pesakit. Selain puasa bertindak menghancurkan sisa-sisa racun atau tosik dalam darah manusia dengan berpuasa juga akan memberi kesegaran pada otot-otot dan akan membuat lebih sihat.

Manfaat Puasa Pada Orang yang Berpuasa

"Wahai orang-orang yang beriman, telah diwajibkan ke atas kamu puasa sebagaimana telah diwajibkan ke atas orang-orang sebelum kamu, mudah-mudahan kamu bertaqwa"
(Al Baqarah:183).

Sepertimana yang telah di firmankan Allah dalam ayat di atas, cukup untuk kita faham bahawasanya falsafah puasa kita yang sebenar ialah untuk melahirkan manusia yang bertaqwa kepada Allah S.W.T kerana taqwa adalah tiket untuk ke syurga. Segala timbunan harta di dunia dan anak-anak tidak lagi bermanfaat di sana nanti. Firman Allah S.W.T

, "Hari (akhirat) ialah hari yang tiada guna lagi harta dan anak-anak, kecuali orang2 yang pulang mengadap Tuhannya dalam keadaan Qalbun Salim "


BagaimanaRamadhan Membentuk Muslim Menjadi Bertaqwa ?

Surah Ali-Imran ayat 17 memberikan jawapannya:

"Orang2 yang sabar, yang benar, yang tetap didalam ketaatan, yang menafkahkan (sebahagian dari harta mereka) dan orang2 yang bangun minta ampun diwaktu sahur"

1. Sabar


Puasa mengajar kita erti sabar yang berterusan. Kita di tuntut untuk sabar menahan haus dan lapar dari pagi hinggalah terbenamnya matahari. Sabar terhadap menurut keinginan hawa nafsu melulu. Sabar ketika miskin dan sabar pada ketika kaya. Hidup ini penuh dugaan dan semuanya menguji diri dan meruntun kesabaran.

2.Benar (Sidiq)


Orang-orang yang berpuasa hendaklah jujur dalam berpuasa, makan, jujur perkataannya, jujur tingkah lakunya, Jujur dalam berniaga, jujur dalam semua hal dan bidang. Sabda Nabi S.A.W,

"Peniaga yang jujur duduk seperti ini dengan ku di syurga" sambil menunjuk isyarat 2 jari (telunjuk dan jari hantu).

Begitu dekat gambaran orang yang jujur dengan Nabi. Sesungguhnya nilai kejujuran ada dalam hati dan hanya Allah juga empunya diri sahaja yang tahu .


3. Qonitin. (Sentiasa dalam ketaatan)

Falsafah puasa mendidik kita supaya sentiasa berada dalam ketaatan yang berterusan Dari pagi sampai malam, dari buka mata hingga tutup kembali, dari muda hingga tua, dari anda mengenal hidayah, hinggalah meninggal dunia. Itulah teras ibadah di bulan Ramadhan. Siang berpuasa, malam bertarawikh dan qiamulail, kemudiannya ditambah lagi dengan bersedekah dan mengeluarkan zakat. Ini semua adalah perjuangan dalam ketaatan kepada Allah S.W.T, menjaganya bukan mudah dan ianya memerlukan kekuatan batin dan sokongan dari luar.

4. Meng infaqkan Harta dan Berzakat

Allah mewajibkan ke atas kita puasa supaya yang kaya antara kita akan merasai bagaimana kehidupan yang dialami oleh orang-orang yang susah antara kita. Ini akan menimbulkan sifat tawadhu dan rendah diri orang yang berada dan akan membuat mereka tidak merasa bakhil untuk mengeluarkan harta mereka membantu orang-orang yang memerlukan. Tambahan pula sabda Nabi S.A.W :

"Barangsiapa memberi makan kepada orang yang berpuasa maka baginya seperti pahala orang yang berpuasa itu tanpa mengurangi sedikitpun dari pahalanya. "
(HR. Ahmad dan At-Tirmidzi).

Menurut Ibnu Abbas r.a bahawasanya Rasulullah S.A.W telah mewajibkan zakat fitrah sebagai penyucian bagi orang yang berpuasa dari perkataan yang tidak ada manfaatnya dan perkataan keji dan sebagai makanan bagi orang-orang miskin.

5. Mustaghfirin Bil Ashar (Mohon ampun di waktu sahur)
Orang yang berpuasa, sebagai pelengkap kepada puasa, agar benar-benar sempurna ibadah di bulan Ramadhan dan terlepas dari dosa, lalu dari azab kubur dan neraka, mereka bertahajud dan bermunajat kepada Allah S.W.T. memohon ampun atas segala dosa yang dilakukan serta mendekatkan diri kepada Allah S.W.T. Sabda Rasulullah S.A.W dari Abu Hurairah r.a:

”Barangsiapa berdiri mengerjakan shalat malam di bulan ramadhan karena iman dan karena mengharap akan Allah ,di ampunilah dosanya yang telah lalu.”
(H.R. Al Bukhary dan Muslim)

Demikianlah Ramadhan membentuk falsafah tersendiri dalam melahirkan muslim yang bertaqwa. Sehubungan dengan itu marilah kita pertingkatkan amalan dan menempuh madarasah tarbiyyah ini dengan penuh sifat penghambaan agar Ramadhan tahun ini adalah yang terbaik dalam kehidupan kita dari yang sebelumya.
Read More

Hakikat Post Terbaik


Sahabat

Hakikat Media