Sabtu, 4 Ogos 2012

BADAR KUBRA IBRAH YANG ISTIMEWA


Kesetiaan Saidina Abu Bakar, Saidina Omar dan Miqdad  Al-Aswad disambut oleh Sa’ad Bin Muaz lalu berdiri dan berkata dengan kata-kata yang memberi keyakinan pada Rasulullah S.A.W 
 
“Kami telah beriman kepada Anda. Kami telah membenarkan Anda. Andaikan Anda bersama kami terhalang lautan lalu Anda terjun ke dalam lautan itu, kami pun akan terjun bersama Anda.” Sa’ad r.a juga mengatakan, “Boleh jadi Anda bimbang, jangan-jangan kaum Ansar tidak mau menolong Anda kecuali di perkampungan mereka (Madinah). Sesungguhnya aku berbicara dan memberi jawaban atas nama orang-orang ansar. Maka dari itu, majulah seperti yang Anda kehendaki….” 
 
Kata-kata yang dilafazkan oleh seorang sahabat Rasulullah S.A.W ini menaikkan semangat para sahabat untuk bertempur di medan Badar. Strategi  perang yang dicaturkan oleh Rasulullah S.A.W di patuhi oleh para sahabat, berkat doa Rasulullah S.A.W di malam syahdu 17 Ramadhan tahun ke 2 Hijrah melihatkan Allah S.W.T menurunkan bantuan tentera di kalangan malaikat bagi membantu Rasulullah S.A.W bersama 313 orang tentera Islam bagi memerangi 1000 orang tentera kafir Quraisy. Ketaqwaan kepada Allah S.W.T meresap ke dalam jiwa parajurit. Tentera Islam senantiasa menyebut “Ahad(Esa)! Ahad(Esa)! Ahad(Esa)! sambil menghayun pedang ke arah tentera kuffar yang ramai. Seorang demi seorang syahid di jalan Allah, namun Rasulullah S.A.W terus memberi semangat kepada tenteranya dengan sabdanya yang bermaksud:
 
“Demi Allah, tidaklah seseorang memerangi mereka pada hari ini, kemudian dia terbunuh dengan sabar dan mengharap pahala serta terus maju dan pantang mundur, melainkan pasti Allah akan memasukkannya ke dalam surga.” Mendengar ini, tentera Islam semakin berkobar-kobar semangatnya. 
 
Kemenangan Bagi Kaum Muslimin 
 
Akhirnya pasukan musyrikin dikalahkan dan terpaksa berundur. Pasukan kaum muslimin berhasil membunuh dan menangkap beberapa orang di antara mereka. Ramai pembesar-pembesar Quraisy yang terkorban antaranya Abu Jahal yang dibunuh oleh 2 orang pemuda Mu'az bin Ammar bin Jamooh dan Mu'az bin Afra. Selain terbunuh ramai di kalangan tentera dan pembesar Quraisy melarikan diri kembali ke Makkah. 70 orang kaum Quraisy terbunuh dan 70 yang lain tertawan. Manakala tentera Islam pula hanya 14 yang syahid (6 dari Muhajirin dan 8 dari Ansar). Tentera Islam mendapat kemenangan dari sebab keteguhan dan ketabahan hati mereka. Demikianlah perang badar, pasukan kecil mampu mengalahkan pasukan yang lebih besar dengan izin Allah. Allah berfirman, 
 
…Betapa banyak golongan yang sedikit dapat mengalahkan golongan yang banyak dengan izin Allah. Dan Allah beserta orang-orang yang sabar.” (Al Baqarah: 249) 
 
Keistimewaan Badar 
 
Tiap kali Ramadhan tiba pasti perang ini menjadi sebutan. Malahan dalam nasyid dan selawat juga terdapat cerita berkenaannya. Mengapa perang ini begitu istimewa? Apa yang perlu kita fahami selaku abna’ul harakah (pendokong gerakan Islam)dari perang Badar ini? Berikut adalah sebahagian daripada keistimewaannya:-
 
Pertama, kerana Rasulullah S.A.W beserta pasukannya mengalami kemenangan meskipun hanya berjumlah 313 orang sahabat menentang 1000 orang tentera Quraisy. Ini mengingatkan kepada kita bahawa yang sedikit bukan ukuran untuk mudah dikalahkan, yang penting kesungguhan, keutuhan jati diri, kerjasama, perancangan yang hebat dan tawakkal sepenuh hati kepada Allah S.W.T. Ini semua menjadi punca kepada sesuatu kejayaan.
 
Kedua, Baginda mengadakan mesyuarat terlebih dahulu sebelum berangkat ke Badar dan begitu juga ketika menentukan nasib para tawanan yang berjumlah seramai 70 orang, Baginda meminta pandangan dua orang sahabatnya yang terdekat iaitu Saidina Abu Bakr dan Saidina Omar Bin al-Khattab untuk menyelesaikan masalah tersebut. Pengajaran utama buat kita agar bermesyuarat terlebih dahulu dalam membuat keputusan besar.
 
Ketiga, usaha berdoa sebelum dan semasa perang Badar terjadi menunjukkan peranan doa yang diajarkan oleh Baginda menjadi teras dan pemangkin sebelum dan ketika sesuatu tindakan dibuat, ia bertujuan untuk mendapatkan keredaan dan restu Allah. Ini adalah azimat penting buat setiap ahli jemaah.
 
Keempat, walaupun menghadapi suasana getir dalam peperangan, ia sedikitpun tidak menghalang umat Islam daripada terus berpuasa, apatah lagi ia merupakan arahan Rasulullah dan pelengkap kepada rukun Islam yang lima.
 
Kelima, keterbukaan Rasulullah S.A.W menerima pandangan sahabat ketika mencatur strategi. Sesungguhnya tindakan Baginda itu tidak sedikitpun mengurangkan kedudukannya sebagai seorang pemimpin tertinggi umat Islam. Ini mendidik kita agar setiap pemimpin berlapang dada dan bersifat terbuka dalam menerima pandangan dari ahli.
 
Keenam, kepatuhan kepada arahan pimpinan yang tidak berbelah bagi dalam perkara yang tidak menyanggah agama, menjadi faktor utama keberhasilan mendapatkan kejayaan. Perang Badar seharusnya mendidik kita selaku jundi untuk taat dan wala' kepada kepimpinan dan tidak menjadi ahli yang menentang dan menurut kepala sendiri kerana tidak bersetuju dengan pemimpin.
 
Ketujuh, mengetahui sumber peralatan perang pihak musuh seperti pengetahuan Nabi terhadap bilangan unta yang dimiliki tentera Quraisy boleh membantu melancarkan strategi peperangan. Sekaligus mengajar kita untuk mengumpul dan menguasai data pihak musuh sebelum berhadapan dengan mereka.
 
Kelapan, menghantar wakil bertemu pihak musuh dari kalangan individu yang hebat seperti Saidina Hamzah, Saidina Ali boleh menggerunkan pihak musuh, kerana mereka beranggapan bahawa pihak umat Islam memiliki pasukan perang terkuat yang sukar dikalahkan. Seharusnya kita juga bijak melatih petugas untuk menjadi hebat ketika berhadapan dengan pihak musuh.
 
Kesembilan, menghalakan niat dan matlamat perang menghadapi musuh adalah kerana Allah dan meninggikan syiar-syiar agama-Nya, bukan atas tujuan meraih harta dan habuan dunia yang melalaikan. Perkara seperti ini kebiasaanya mudah dinyatakan pada bibir ahli, andai hatitidak di jaga pasti nafsu mengalihkan niat dan matlamat ikhlas kita.
 
Kesepuluh, cara berfikir yang bernas patut dilontarkan ketika mengadakan sesuatu perbincangan untuk mencari jalan penyelesaian seperti yang dilakukan oleh Abu Bakar dan Omar bagi menyelesaikan isu tawanan perang. Setiap dari ahli jemaah seharusnya berfikiran kritis dan mampu melontarkan idea yang bernas.
 
Kesebelas, menstrategikan perancangan bagi menghadapi pihak lawan ketika dalam perjalanan menuju ke Badar. Cadangan strategi perang untuk menguasai mata air dan sumur membuahkan hasil yang baik untuk tentera Islam. Lantaran ini mendidik kita samada kepimpinan mahupun ahli mestilah stategis dalam mencatur perancangan.
 
Keduabelas, semangat para pemuda mempertahankan Allah dan Rasulullah yang ditonjolkan oleh Saidina Ali, Mu'adz bin Afra dan Mu'adz bin Ammar dalam menentang musuh di Badar. Pemuda adalah benteng utama jemaah, sewajibnya pemuda terlebih dahulu tampil kehadapan dengan semangat dan ilmu pengetahuan yang tinggi bagi mempertahankan jemaah.
 
 
Kesimpulan 
 
Keimanan, ketabahahan, kesetiaan dan kesabaran menjadi kayu ukur ketaqwaan para ahli Badar dan ini seharusnya menjadi pencetus motivasi buat kita. Dari permulaan peristiwa sehingga pengakhiran perang Badar ini memberikan banyak pengajaran buat kita. Bermula dari perancangan yang strategik sehinggalah pendambaaan syahid oleh ahli Badar seharusnya kita jiwai dan tidak kita lupa supaya menjadi pedoman harian di bulan Ramadhan ini, seterusnya dalam kehidupan seharianselagi nyawa dikandung badan.

0 ulasan:

Hakikat Post Terbaik


Sahabat

Hakikat Media