Rabu, 3 Disember 2008

Wajib ke x?


Salam ukhwah buat sahabat-sahabat. Sudah hampir sebulan ana tidak up-date blog ni, jenguk pun jarang-jarang disebabkan sibuk dengan final exam dan program. Di harap sahabat-sahabat setia berada dalam keadaan sihat. Ok kalini biarlah perbincangan kita beranjak kepada konsep dakwah di Malaysia yang mana lebih berkisarkan mengislahkan muslim. Seperti yang biasa berlaku di kebanyakan universiti dan tempat-tempat lain, program-program islah lebih kerap dilakukan berbanding dakwah kepada non-muslim. Kebiasaanya program-program dilakukan tidak banyak melibatkan golongan non-muslim. Adakah kita perlu berdakwah kepada muslim sahaja? Mengapa dakwah kepada non-muslim ini kurang dilakukan? Timbul banyak persoalan di situ…

Akan tetapi bukanlah semua mengabaikan dakwah kepada non-muslim, tindakan Parti Islam se-Malaysia (PAS) membuka penyertaan kepada non-muslim sebagai ahli sokongan dalam memperjuangkan Islam di Malaysia adalah salah satu tindakan yang sangat bagus ke arah konsep dakwah kepada non-muslim. Selain itu kehadiran NGO-NGO yang banyak memperjuangkan dakwah umum kepada masyarakat adalah satu tindakan yang bernas. Salah satu NGO yang bergiat aktif dalam dakwah kepada non-muslim ini ialah Islamic Information and Service Foundation (IIS). Dengan mengadakan kelas perbandingan agama (FCR) dan interfaith forum telah berjaya melahirkan jiwa-jiwa da’e yang mana ingin berdakwah kepada non-muslim dengan cara yang berhikmah sesuai dengan fiman Allah S.W.T

“Serulah (manusia) ke jalan Tuhanmu dengan bijaksana dan berhikmah, dan berbahaslah dengan mereka dengan cara lebih baik. Sesungguhnya Tuhanmu lebih mengetahui orang-orang yang sesat dari jalanNya dan Dia lebih mengetahui orang-orang yang mendapat petunjuk.”

(An-Nahl 16:125)

‘Master key’ untuk melakukan dakwah kepada non-muslim ada diterangkan dalam firman Allah S.W.T :

“Katakanlah (wahai Muhammad): ‘Wahai ahli kitab, marilah kepada satu kalimah yang bersamaan antara kami dan kamu, iaitu kita semua tidak sembah melainkan Allah, dan kita tidak sekutukan denganNya suatu jua pun; dan jangan pula sebahagian dari kita mengambil akan sebahagian yang lain untuk dijadikan orang-orang yang dipuja dan didewa-dewakan selain dari Allah’.”

(Surah Ali Imram 3:64)

Banyak dalil di dalam Al-Quran mahupun hadith yang menjelaskan kepada kita kewajipan berdakwah baik kepada muslim mahupun non-muslim. Malahan Alllah S.W.T telah menawarkan satu perniagaan yang mana boleh menyelamatkan kita dari azab nerakaNya :

“Wahai orang-orang yang beriman! Mahukah Aku tunjukkan sesuatu perniagaan yang boleh menyelamatkan kamu dari azab seksa yang tidak terperi sakitnya? Iaitu kamu beriman kepada Allah dan RasulNya, serta kamu berjuang membela dan menegakkan agama Allah dengan hartabenda dan diri kamu”.

(Surah As-Saff 61 : 10-11)

Kini bila berniaga kita hendak tahu peratusan keuntungannya. Keuntungan yang dijanjikan oleh Allah swt dalam Surah Al-Baqarah 2:261 adalah

“Bandingan (derma) orang-orang yang belanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai; tiap-tiap tangkai pula mengandungi seratus biji. Dan (ingatlah), Allah akan melipat gandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendakiNya”. Yakni setiap satu biji benih tumbuh menjadi tujuh ratus biji benih.”

Didalam bahasa perniagaan, ini adalah keuntungan yang tidak kurang dari 70,000%! Mana ada perniagaan lain didunia ini yang menjamin 100% pulangan keuntungan sehingga 70,000%?

Tiada alasan lagi untuk kita nyatakan bahawa kita tidak perlu berdakwah kepada non-muslim. Ini adalah peranan kita yang utama. Kitalah khalifah kitalah da’e kitalah pejuang agama Allah dan kita jugalah umat terbaik di muka bumi Allah seperti mana firmanNya dalam surah Ali-Imran ayat 110 :

“kamu adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi manusia, (supaya)kamu menyuruh berbuat ma’aruf dan melarang dari yang mungkar, serta beriman kepada Allah.”

Jadi sahabat-sahabat yang dirahmati Allah, apa yang kita lakukan sekarang? Adakah kita berdakwah kepada non-muslim? Sebenarnya kitalah orang-orang Islam yang kejam kerana mementingkan diri dan tidak berdakwah kepada mereka yang non-muslim. Kita ada ramai kenalan non-muslim seperti rakan universiti, teman sekerja,kawan, jiran dan sebagainya tetapi kita tak pernah buka mulut kita menyampaikan mesej Islam. Kita biarkan sahaja mereka mati dalam keadaaan kafir. Di akhirat nanti mereka akan mengadu kepada Allah dan menarik kita sama-sama masuk ke neraka, na’uzubillah. Apakah alasan yang akan kita berikan pada Allah ketika itu? Sahabat-sahabat marilah kita sama-sama bangun dan sampaikan dakwah kepada orang-orang bukan Islam sambil melakukan Islah sesama orang-orang Islam. Marilah kita bersama-sama membentuk diri diri muslim, keluarga muslim, masyarakat muslim dan seterusnya Negara Islam…

TAKBIR!!!

0 ulasan:

Hakikat Post Terbaik


Sahabat

Hakikat Media