Rabu, 17 Ogos 2011

IBRAH DARI PERANG BADAR


Bulan Ramadhan mengajar erti ketabahan dan kekuatan iman bagi mencapai tahap ketaqwaan kepada Allah S.W.T. Medan Badar menjadi saksi ketakwaan hamba-hamba Allah S.W.T dalam memerangi kaum kafir Quraish pada tanggal 17 Ramadhan tahun 2Hijrah. Perang Badar merupakan perang pertama yang dilalui oleh umat Islam di Madinah. Ia merupakan isyarat betapa mulianya umat Islam yang berpegang teguh pada tali agama Allah. Kemenangan besar kaum muslimin tidak terletak pada jumlah tentara yang ikut serta tetapi terkandung dalam kekuatan iman yang tertanam disanubari mereka. Dengan Keyakinan mereka pada Allah yang sangat kukuh itu, Allah telah menurunkan bantuan ibarat air yang mengalir menuju lembah yang curam. Tidak ada sesiapa yang dapat menahan betapa besarnya pertolongan Allah terhadap umat yang senantiasa menjalankan perintahnya dan menjauhi larangannya.

Latar Belakang Pertempuran

Suatu ketika terdengarlah khabar di kalangan kaum muslimin Madinah bahawa Abu Sufyan beserta kafilah dagangnya, hendak berangkat pulang dari Syam menuju Mekkah. Jalan mudah dan terdekat untuk perjalanan Syam menuju Mekkah harus melewati Madinah. Kesempatan berharga ini dimanfaatkan oleh Rasulullah S.A.W dan para sahabat untuk merampas barang dagangan mereka. Harta mereka menjadi halal bagi kaum muslimin. Terdapat dua hujah yang menyebabkan harta Orang kafir Quraisy tersebut halal bagi para sahabat:
1. Orang-orang kafir Quraisy statusnya adalah kafir harbi, iaitu orang kafir yang secara terang-terangan memerangi kaum muslimin, mengusir kaum muslimin dari tanah kelahiran mereka di Mekah, dan melarang kaum muslimin untuk memanfaatkan harta mereka sendiri.
2. Tidak ada perjanjian damai antara kaum muslimin dan orang kafir Quraisy yang memerangi kaum muslimin.
Dengan alasan inilah, mereka berhak untuk menarik kembali harta yang telah mereka tinggal dan merampas harta orang musyrik.

Menuju Ke Badar
Rasulullah S.A.W kemudiannya berangkat bersama 313 sahabat menuju ke Badar. Sebelum berlaku peperangan di Badar, Nabi Muhammad S.A.W telah mengutuskan Talhah Bin Ubaidullah dan Said bin Zaid untuk mengumpul maklumat tentang kabilah Abu Sufyan. Mereka mengumpulkan maklumat ynag perlu dan kembali ke Madinah untuk menyampaikan pada Rasul. Baginda bergerak bersama-sama para pengikutnya. Baginda menuju ke Badar tetapi terlebih dahulu Baginda mengutus Ali bin Abu Talib, Zubir bin Al-Awwam dan Saad Bin Abi Waqqas bersama beberapa orang lain ke Badar mengumpulkan maklumat terbaru tentang orang Quraisy serta musuh mereka. Maklumat yang diperolehi daripada dua orang budak lelaki yang telah mendedahkan tentang tempat persinggahan orang Quraisy. Apabila Rasulullah bertanya berapa ekor binatang yang disembelih untuk makanan mereka setiap hari, kanak-kanak itu menjawab 9 atau 10 eokr. Dengan kebijaksanaan Rasulullah, Beliau dapat mengagak jumlah tentera musuh ada 900 hingga 1000 orang tentera. Disini dapat kita fahami bahawa Rasulullah S.A.W mengajar kita setiap dari apa yang kita lakukan perlu kepada perancangan strategik bagi menghadapi musuh.

Pada asalnya Rasulullah S.A.W bersama para sahabat keluar dari Madinah dengan harapan dapat menghalang kafilah dagang Abu Sufyan. Merampas harta mereka sebagai ganti rugi terhadap harta yang ditinggalkan kaum muhajirin di Makah. Meskipun demikian, mereka merasa cemas boleh jadi yang mereka temui ialah pasukan perang. Oleh kerana itu, persenjataan yang dibawa para sahabat tidaklah selengkap persenjataan ketika perang. Namun, Allah berkehendak lain. Allah mentakdirkan agar pasukan tauhid yang kecil ini bertemu dengan pasukan kesyirikan. Allah hendak menunjukkan kehebatan agamanya, merendahkan kesyirikan. Allah gambarkan kisah mereka dalam firmanNya:

“Dan (ingatlah), ketika Allah menjanjikan kepadamu bahwa salah satu dari dua golongan (yang kamu hadapi) adalah untukmu, sedang kamu menginginkan bahwa yang tidak mempunyai kekekuatan senjata-lah yang untukmu (kamu hadapi, pent. Iaitu kafilah dagang), dan Allah menghendaki untuk membenarkan yang benar dengan ayat-ayat-Nya dan memusnahkan orang-orang kafir.”
(Al Anfal: 7)

Demikianlah gambaran orang soleh. Harapan Rasulullah S.A.W dan para sahabat tidak terkabul. Mereka menginginkan harta kafilah dagang, tetapi yang mereka dapatkan ialah pasukan perang Quraish. Kenyataan ini memberikan pelajaran penting dalam masalah aqidah bahwa tidak semua yang dikehendaki orang soleh selalu dikabulkan oleh Allah. Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu, tidak ada yang mampu mengendalikan keinginan Allah. Sehebat manapun kesolehan seseorang, tidak mampu mengubah apa yang Allah kehendaki.

Kesetiaan yang Tiada Tandingnya
Hasrat awal Nabi Muhammad S.A.W pada mulanya berangkat dari Madinah adalah hendak mengejar seperangkatan unta yang memuatkan perdagangan kaum Quraisy yang di ketuai oleh Abu Sufyan, sedangkan mereka telah melepasi jalan ke Makkah. Angkatan Unta yang dikejar telah terlepas jalan. Pasukan tentera Quraisy begitu besar berlipat ganda. Alat perang Quraisy lebih lengkap dan mereka serba kekurangan. Ketika Nabi S.A.W merasa yakin bahwa yang akan ditemui adalah pasukan perang dan bukan kafilah dagang, beliau mulai cemas dan bimbang terhadap keteguhan dan semangat sahabat. Beliau sedar bahwa pasukan yang akan beliau hadapi kekuatannya jauh lebih besar daripada kekuatan pasukan yang Baginda pimpin. Oleh kerana itu, tidak hairan jika ada sebahagian sahabat yang merasa berat dengan keberangkatan pasukan menuju Badar. Allah gambarkan kondisi mereka dalam firmanNya,

“Sebagaimana Tuhanmu menyuruhmu pergi dari rumahmu dengan kebenaran, padahal sesungguhnya sebagian dari orang-orang yang beriman itu tidak menyukainya.” (Al Anfal: 5)

Sementara itu, para komandan pasukan Muhajirin, seperti Abu Bakr dan Umar bin Al Khattab sama sekali tidak gentar, dan lebih baik maju terus. Namun, ini belum dianggap cukup oleh Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam. Beliau masih menginginkan bukti kukuh kesetiaan dari sahabat yang lain. Akhirnya, untuk menghilangkan kecemasan itu, beliau berunding dengan para sahabat, meminta kepastian sikap mereka untuk menentukan dua pilihan: Pertama tetap melanjutkan perang walauapapun kondisinya, ataupun kedua kembali ke Madinah.

Kemudian seorang sahabat, Miqdad Bin Al-Aswad lalu berdiri dan berkata :
“Ya Rasulullah, teruskanlah pada barang apa yang Allah telah perintahkan pada Tuan! Maka kita serta Tuan. Demi Allah, kita tidak akan berkata kepada Tuan seperti perkataan kaum Bani Israil kepada Nabi Musa pada zaman dahulu. “Pergilah engkau bersama Tuhanmu, maka berperanglah engkau berdua. Kita sesungguhnya akan duduk termenung saja.”. Akan tetapi berkata kita pada Tuan sekarang “Pergilah Tuan bersama Tuhan Tuan! Dan berperanglah Tuan bersama Tuhan Tuan. Kita sesungguhnya berserta Tuan dan Tuhan Tuan. Kita ikut berperang. Demi Allah, jikalau Tuan berjalan dengan kita sampai kedesa Barkul Ghamad, nescaya kita berjuang bersama Tuan daripada yang lainnya. Kita akan berperang dari sebelah kanan Tuan dan di antara hadapan Tuan dan belakang Tuan".

Ketika itu Rasulullah juga ingin kepastian dari kaum Ansar. Melihat keadaan itu, Sa’ad Bin Muaz lalu berdiri dan berkata dengan kata-kata yang memberi keyakinan pada Rasulullah “Kami telah beriman kepada Anda. Kami telah membenarkan Anda. Andaikan Anda bersama kami terhalang lautan lalu Anda terjun ke dalam lautan itu, kami pun akan terjun bersama Anda.” Sa’ad r.a juga mengatakan, “Boleh jadi Anda bimbang, jangan-jangan kaum Ansar tidak mau menolong Anda kecuali di perkampungan mereka (Madinah). Sesungguhnya aku berbicara dan memberi jawaban atas nama orang-orang ansar. Maka dari itu, majulah seperti yang Anda kehendaki….”

Setelah itu, Nabi S.A.W lalu bersabda pada seluruh tenteranya:
“Berjalanlah kamu dan bergiranglah kerana sesungguhnya Allah telah memberi janji kepadaku salah satu daripada dua golongan (yaitu Al-Ier dan An-Nafier). Demi Allah, sungguh aku seakan-akan sekarang ini melihat tempat kebinasaan kaum Quraisy,”

Mendengar perintah Rasulullah S.A.W yang sedemikian itu, segenap kaum muslimin memulakan perjalanan dengan tulus ikhlas dan berangkatlah mereka menuju ketempat yang dituju oleh Nabi. Mereka selalu ta’at dan patuh kepada perintah Nabi S.A.W dengan melupakan segala sesuatu yang menjadi kepentingan diri mereka sendiri.

Rintihan Syahdu Malam
Pada malam itu, malam Jumaat 17 Ramadhan 2 H, Nabi Allah Muhammad S.A.W lebih banyak mendirikan solat. Sementara Allah menurunkan rasa mengantuk kepada kaum muslimin sebagai penenang bagi mereka agar dapat beristirahat. Sedangkan di pihak kaum musyrikin dalam keadaan cemas. Allah menurunkan rasa takut kepada mereka. Di antara doa yang dibaca Nabi S.A.W berulang-ulang adalah,

“…Ya Allah, jika Engkau berkehendak (orang kafir menang), Engkau tidak akan disembah. Ya Allah, jika pasukan yang kecil ini Engkau binasakan pada hari ini, Engkau tidak akan disembah…..”


Baginda S.A.W mengulang-ulang doa ini sampai selendang baginda tarjatuh kerana lamanya berdoa, kemudian datanglah Abu Bakar As Shiddiq r.a memakaikan selendang beliau yang terjatuh sambil memeluk beliau… “Cukup-cukup, wahai Rasulullah…”
Tentang kisah ini, diabadikan Allah dalam FirmanNya,

“Ingatlah), ketika Tuhanmu mewahyukan kepada para malaikat: “Sesungguhnya Aku bersama kamu, maka teguhkan (pendirian) orang-orang yang telah beriman”. Kelak akan Aku jatuhkan rasa ketakutan ke dalam hati orang-orang kafir, maka penggallah kepala mereka dan pancunglah tiap-tiap ujung jari mereka. (Ketentuan) yang demikian itu adalah karena sesungguhnya mereka menentang Allah dan Rasul-Nya; dan barangsiapa menentang Allah dan Rasul-Nya, maka sesungguhnya Allah amat keras siksaan-Nya.” (Al Anfal: 12-13)

Medan Badar Saksi Ketaqwaan

Yang pertama kali menyahut peperangan adalah Al Aswad Al Makhzumi, seorang yang berperangai kasar dan akhlaknya buruk. Dia keluar dari barisan orang kafir sambil menentang. Kedatangannya langsung disambut oleh Hamzah bin Abdul Muthallib r.a Setelah saling berhadapan, Saidina Hamzah menang dalam pertarungan tersebut dan inilah korban Badar pertama. Selanjutnya, muncul tiga penunggang kuda handal dari kaum Musyrikin. Ketiganya berasal dari satu keluarga. Syaibah bin Rabi’ah, Utbah bin Rabi’ah, dan anaknya Al Walid bin Utbah.. Kemudian Nabi S.A.W memerintahkan Saidina Ali k.w.h, Saidina Hamzah r.a, dan Ubaidah bin Harits r.a untuk maju mewakili Muhajirin atas permintaan pihak musyrikin. Ubaidah r.a berhadapan dengan Al Walid, Saidina Ali berhadapan dengan Syaibah, dan Saidina Hamzah berhadapan dengan Utbah. Bagi Saidina Ali dan Saidina Hamzah, menghadapi musuhnya tidak ada kesulitan. Lain halnya dengan Ubaidah r.a. Masing-masing saling melancarkan serangan, hingga masing-masing terluka Kemudian lawan Ubaidah r.a dibunuh oleh Saidina Ali k.w.h dan Ubaidah r.a tubuh syahid pertama Badar..

Setelah itu pertempuran terus berlaku. Tentera Islam yang seramai 313 orang berlawan mati-matian untuk menewaskan tentera Quraisy. Rasulullah senantiasa mengamati gerak-geri tentera Islam. Dengan sebentar waktu, berpuluh-puluh tentera musyrikin menghembuskan nafasnya, melayang jiwanya meninggalkan badannya bergelimpangan diatas tanah bermandikan darah. Tentera Islam senantiasa menyebut “Ahad(Esa)! Ahad(Esa)! Ahad(Esa)!

Berkat doa yang tidak putus-putus dari Rasulullah S.A.W maka Allah S.W.T mengutuskan malaikat yang di pimpin oleh Jibrail a.s membantu tentera Islam untuk menewaskan musuh. Rasulullah S.A.W juga memberi semangat kepada tenteranya dengan sabdanya yang membawa maksud “Demi Allah, tidaklah seseorang memerangi mereka pada hari ini, kemudian dia terbunuh dengan sabar dan mengharap pahala serta terus maju dan pantang mundur, pasti Allah akan memasukkannya ke dalam surga.” Mendengar ini, tentera Islam semakin berkobar-kobar semangatnya.

Kemenangan Bagi Kaum Muslimin

Singkat cerita, pasukan musyrikin terkalahkan dan terpukul mundur. Pasukan kaum muslimin berhasil membunuh dan menangkap beberapa orang di antara mereka. Ramai pembesar-pembesar Quraisy yang terkorban dan pada akhirnya, mereka melarikan diri. 70 orang kaum Quraisy terbunuh dan 70 yang lain tertawan. Manakala tentera Islam pula hanya 14 yang syahid (6 dari Muhajirin dan 8 dari Ansar). Tentera Islam mendapat kemenangan dari sebab keteguhan dan ketabahan hati mereka. Demikianlah perang badar, pasukan kecil mampu mengalahkan pasukan yang lebih besar dengan izin Allah. Allah berfirman,

“…Betapa banyak golongan yang sedikit dapat mengalahkan golongan yang banyak dengan izin Allah. Dan Allah beserta orang-orang yang sabar.”
(Al Baqarah: 249)

Kesimpulan

Keimanan, ketabahahan,kesetiaan dan kesabaran menjadi kayu ukur ketaqwaan para ahli Badar ini seharusnya menjadi pencetus motivasi buat kita. Dari permulaan peristiwa sehingga pengakhiran perang Badar ini memberikan banyak pengajaran buat kita. Bermula dari perancangan yang strategik sehinggalah pendambaaan syahid oleh ahli Badar seharusnya kita jiwai dan tidak kita lupa supaya menjadi pedoman harian kita di bulan Ramadhan ini lantas dalam kehidupan kita seharian.

0 ulasan:

Hakikat Post Terbaik


Sahabat

Hakikat Media