Selasa, 29 November 2011

HIJRAH ITU PENGORBANAN

Salam Maal Hijrah,
Ketibaan bulan Muharam mengundang pengertian yang besar bagi umat Islam. Bulan Muharam inilah bulan yang dikatakan bulan Hijrah, bulan yang mana mengimbau kembali bagaimana penghijrahan Nabi Muhammad S.A.W bersama umat Islam Makkah atau di kenali sebagai kaum Muhajirin menuju ke Madinah Al-Munawarah yang mana disambut dan dibantu oleh kaum Ansor yakni penduduk Kota Madinah Al-Munawarah.

Hijrah itu menuntut pengorbanan. Malahan tanpa pengorbanan mungkin sahaja hijrah itu tidak dapat dijayakan. Sebagaimana yang di ketahui bagaimana Rasulullah S.A.W berhijrah ke Makkah melalui jalan jauh, Asma’ Abu Bakar r.ha membawa makanan untuk diberikan kepada Rasullullah S.A.W yang bersama ayahnya Saidina Abu Bakar r.a dalam keadaan sarat mengandung, kemudiannya kita ketahui Saidina Abu Bakar r.a di patuk ular ketika melindungi Nabi Muhammad S.A.W, ini semua adalah pengorbanan. Sahabat-sahabat r.ahum juga melalui proses pengorbanan yang tinggi dalam penghijrahan mereka. Salah seorangnya ialah Syuhaib Ar-Rumi yang mana sanggup mengorbankan segala hartanya yang banyak di Makkah untuk berhijrah ke Madinah dengan sehelai sepinggang atas tuntutan yang dilakukan oleh kaum musyrikin Makkah. Kisah penghijrahan beliau diceritakan di dalam Al-Quran, Allah S.W.T.berfirman, maksudnya:

"Dan di antara manusia ada orang yang mengorbankan dirinya kerana mencari keredhaan Allah dan Allah itu Maha Penyantun terhadap hamba-hambaNya" (al-Baqarah: 207)
 
Hijrah Zaman Moden

Sabda Rasulullah S.A.W :  

“Tiada hijrah selepas al-Fath (Pembukaan Makkah), tetapi jihad dan niat. Dan apabila kamu dikerah untuk keluar berjihad, maka keluarlah kamu” (Riwayat al-Bukhari, Muslim dan lain-lain)

Daripada Abdullah bin ‘Amru bin al-‘Aas, Nabi S.A.W bersabda yang maksudnya:

“Sesungguhnya hijrah ada dua unsur. Satu daripadanya ialah kamu meninggalkan kejahatan dan kedua kamu berhijrah kepada Allah dan Rasul-Nya. Dan tidak terputus hijrah selagi taubat diterima. Taubat akan terus diterima sehingga matahati terbit dari barat. Apabila matahari telah terbit dari barat, akan dicopkan ke atas setiap hati manusia apa yang telah ada padanya. Peluang beramal sudah tiada lagi.” (Riwayat Ahmad)

Menurut hadis ini, jelas kepada kita bahawa kita seharusnya melakukan proses penghijrahan niat dengan berjihad di jalan Allah S.W.T dalam kehidupan kita yang semakin mencabar ini. Dalam masa yang sama, perlu juga untuk kita fahami bahawa kita perlu melakukan perubahan dari kejahilan merangkumi setiap aspek hidup samada pemakaian, politik, pemikiran, dan keseluruhannya. Ianya juga merangkumi ideologi dari sekularisme kepada Islam yang syumul. Ini kerana hadis tersebut juga menyatakan kepentingan untuk kita berhijrah meninggalkan kejahatan dan kembali kepada Allah dan rasulNya walaupun ianya sukar untuk kita lakukan kerana ianya bercanggah dengan hawa nafsu yang inginkan hiburan dan kesenangan duniawi.

Hijrah adalah suatu bentuk perubahan yang memerlukan pengorbanan. Tanpa pengorbanan yang ikhlas, proses penghijrahan sukar untuk dilakukan.  Pengorbanan pula menuntut semangat jihad dan keyakinan yang tinggi dalam diri. Justeru, perubahan dan pengorbanan adalah suatu tuntutan hidup, iaitu berubah dari suatu yang buruk kepada yang baik, dari yang baik kepada yang terbaik.Oleh yang demikian marilah kita sama-sama menghayati bulan Muharam ini beserta pengertian pengorbanan agar kita dapat menghijrahkan diri kita untuk menjadi hamba Allah S.W.T dan umat Rasulullah S.A.W yang bertaqwa.

1 ulasan:

- musafir. - berkata...

mari berhijrah!

salam maal hijrah =D

29 November 2011 pada 4:04 PTG

Hakikat Post Terbaik


Sahabat

Hakikat Media