Abdullah Ibnu Mas'ud : Kejujuran Diatas Ketelusan
Sabda-sabda Rasulullah S.A.W.
"Jika sekiranya aku hendak melantik seseorang bagi memegang sesuatu tugas tanpa berunding dengan kaum Muslimin yang lain maka pastilah yang aku tabalkan itu ialah Abdullah Bin Mas’ud ".
Siapakah gerangan tokoh yang di puji oleh nabi kita ini? Apakah ketokohan beliau? Bagaimanakah keperibadian beliau?
NAMA sebenar beliau ialah Abdullah bin Mas‘ud bin Ghafil ( عبدالله بن مسعود ). Beliau dilahirkan di Mekkah Al-Mukaramah. Beliau adalah orang yang keenam yang masuk ke dalam agama Islam. Abdullah Bin Mas’ud ini berasal dari keluarga yang miskin bahkan ia sendiri asalnya adalah seorang pengembala kambing kepunyaan Uqbah Bin Abi Muith.
KEPERIBADIAN
Keperibadian beliau terserlah sejak dari kecil lagi. Seperti yang dinyatakan tadi, beliau merupakan pengembala kambing milik Uqbah Bin Abi Muith. Diceritakan pada suatu ketika Rasulullah S.A.W. dan Abu Bakar R.A. melewat di sebuah padang yang luas tempat Ibnu Mas'ud menggembalakan kambingnya. Mereka melihat kambing-kambing gembalaan Ibnu Mas'ud yang gemuk dan sihat. Merasa dahaga dan lelah, terlintaslah dalam fikiran mereka berdua untuk meminum susu kambing gembalaan tersebut. Mereka berdua menghampiri Ibnu Mas'ud yang kelihatan sibuk mengatur kambing-kambingnya. Ketika ditanya adakah kambing yang dapat diperah susunya, Ibnu Mas'ud mengiyakan. Namun, sayangnya, Ibnu Mas'ud tidak dapat memberikannya kepada mereka. Pemuda itu berkata, "Susu itu ada, tetapi sayang mereka bukan milikku. Kambing-kambing ini hanyalah amanah dari orang lain yang dititipkan kepadaku." Rasulullah S.A.W sangat gembira dengan jawaban pemuda penggembala tersebut. Padahal, saat itu Ibnu Mas'ud belum memeluk Islam. Baginda S.A.W sangat kagum dengan keteguhan prinsip pada diri Ibnu Mas’ud yang dapat mencegahnya dari perbuatan khianat atas kepercayaan yang diamanahkan kepadanya
Abdullah Ibnu Mas’ud juga merupakan sahabat Nabi Muhammad yang terkenal sebagai pentafsir al-Quran. Beliau juga mengetahui sebab-sebab sesuatu surah itu diturunkan. Bahkan beliau pernah mengatakan bahawa beliau telah mengambil langsung Al-Quran daripada Rasulullah S.A.W. tidak kurang dari 70 buah surah. Selain daripada itu tidak seorang pun yang dapat menandinginya dalam soal tersebut dan Rasulullah S.A.W. telah memberikan kepercayaan kepadanya untuk menyebar¬kan Al-Quran tersebut. Bahkan Rasulullah S.A.W. sendiri pernah suatu ketika bersabda :
“Pelajarilah Al-Quran dari empat orang: Ibnu Ummi ‘Abd (Abdullah Ibnu Mas’ud), Mu’adz bin Jabal, Ubay bin Ka’ab, dan Salim maula Abu Hudzaifah”
(diriwayatkan oleh Al-Bukhari, Muslim, Al-Hakim, dan At Tirmidzi.)
Rasulullah S.A.W. sangat mencintai Abdullah Ibnu Mas’ud dan dialah satu-satunya sahabat besar yang diberi izin keluar masuk rumah Rasulullah S.A.W. Selain menjadi sahabat Rasulullah S.A.W. yang akrab, beliau juga salah seorang pembantu dan murid Baginda. Beliaulah yang selalu mengikuti Rasulullah S.A.W. pergi dan mengurus terompah beliau, mengurus kain basahan di waktu Rasulullah S.A.W. mandi dan membangunkan baginda sewaktu sedang tidur pada waktu-waktu yang ditetapkan oleh Rasulullah S.A.W. sendiri.
Maka yang demikian tidak hairanlah besarnya kecintaan serta kepercayaan Rasulullah S.A.W. terhadap dirinya. Sebagai menunjukkan besarnya kepercayaan Baginda terhadap Abdullah Mas’ud dapat dilihat dari suatu sabda baginda di mana Rasulullah S.A.W, diberitakan bersabda:
"Saya reIa kepada ummatku apa-apa yang disukai oleh Ibnu Mas’ud dan saya marah kepada ummatku apa-apa yang dimarahi olehnya.”
Sebagai seorang mukmin yang ulung Abdullah Ibnu Mas’ud telah menyertai Rasulullah S.A.W. dalam berbagai peristiwa besar yang terjadi di zaman Baginda. Beliau ikut hijrah ke Madinah bahkan menyertai Rasulullah S.A.W. dalam semua peperangan yang disertai Baginda seperti Perang Badar, Uhud, Khandak dan lain-lain lagi. Setiap kali tentera Islam berperang dengan tentera musuh, Abdullah di lantik oleh Nabi Muhammad S.A.W menjadi pembantunya. Beliau sedia membantu Nabi Muhammad S.A.W demi keselesaan Baginda semasa peperangan.
KEWAFATANNYA
Selepas Nabi Muhammad meninggal dunia, Abdullah dilantik menjaga Baitulmal di Kufah. Semasa pemerintahan Khalifah Usman, Beliau kembali ke Madinah dan sakit disana kemudian wafat pada tahun 32 H dan dimakamkan di Baqi, Utsman bin ‘Affan ikut mensolatkannya.
Sumber : Pelbagai
0 ulasan:
Catat Ulasan