Insan Unggul Sepanjang Zaman

Assalamu'alaikum sahabat2...

Sekian lama tidak menulis, INI KALILAH permulaan menulis kembali. Coretan tahun baru ini di mulakan dengan penulisan tentang Idola yang merupakan susuk tubuh yang tidak asing bagi kita.Beliau dilahirkan di Kota Makkah pada 12 Rabiul Awwal, susuk tubuh yang menggegarkan dunia jua akhirat ini mempunyai akhlaq terpuji dan disanjungi kawan dan lawan. Beliau adalah Muhammad s.a.w. junjungan besar dan penghulu bagi sekalian nabi.
Ketokohan, kepimpinan, kehambaan, ketaqwaan dan ketabahan baginda s.a.w. merupakan ikutan utama ummatnya bertepatan dengan firman Allah s.w.t. yang bermaksud:

“Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang).” (Al-Ahzab: 21).

 Di antara sifat-sifat baginda s.a.w. ialah:

1)Siddiq (Benar)
Pada diri Rasulullah s.a.w. bukan hanya perkataannya yang benar, malah perbuatannya juga benar, yakni sejalan dengan ucapannya. Malahan mustahil bagi Rasulullah s.a.w. itu bersifat pembohong, penipu dan sebagainya. Maksud firman Allah ta’ala:  

“Dan tiadalah yang diucapkannya itu (Al-Quran) menurut kemahuan hawa nafsunya. Ucapannya itu tiada lain hanyalah wahyu yang diwahyukan kepadanya.” ( An-Najm: 4~5)

2)Amanah (Integriti)
Sifat amanah ini turut diakui oleh penduduk Makkah sehingga memberi gelaran kepada Nabi Muhammad s.a.w. dengan gelaran ‘Al-Amin’ yang bermaksud ‘yang dipercayai’, jauh sebelum beliau diangkat menjadi seorang Rasul. Jika satu urusan diserahkan kepadanya, nescaya orang percaya bahawa urusan itu akan dilaksanakan dengan sebaik-baiknya. Apa pun yang beliau ucapkan, dipercayai dan diyakini penduduk Makkah kerana beliau terkenal sebagai seorang yang tidak pernah berdusta. Masa kini, kalimah yang mungkin tepat adalah integriti.

 3)Tabligh ( Menyampaikan)
Sifat ini sinonim dengan tugasan baginda s.a.w. untuk menyeru ke arah kebaikan dan memberi peringatan kepada yang mengingkari perintah agama. Segala firman Allah s.w.t. yang ditujukan kepada manusia, disampaikan oleh baginda s.a.w. tanpa ada yang disembunyikan walaupun ianya menyinggung diri baginda sendiri. Firman Allah yang bermaksud:  

“Supaya Dia mengetahui, bahawa sesungguhnya rasul-rasul itu telah menyampaikan risalah-risalah Tuhannya, sedang ilmu-Nya meliputi apa yang ada pada mereka, dan Dia menghitung segala sesuatu satu persatu.” (Al-Jin: 28)

4)Fathonah (Bijaksana)
Baginda s.a.w. menguasai dan menyampaikan ayat Al-Quran malahan menjelaskan secara terperinci dalam hadith. Apatah lagi Baginda mampu mengatur umatnya sehingga berjaya mentransformasi bangsa Arab Jahiliah yang asalnya kurang berilmu, kasar, bengis, berpecah-belah serta sentiasa berperang antara suku, menjadi satu bangsa yang berbudaya dan berpengetahuan. Itu semua memerlukan kebijaksanaan yang luar biasa.

5)Kepemimpinan berkarisma
Rasulullah s.a.w. pernah bersabda mengenai kepimpinan. Nabi bersabda yang bermaksud:  

“Setiap kamu adalah pemimpin, dan setiap pemimpin adalah bertanggungjawab terhadap apa yang dipimpinnya.”(Riwayat Muslim)

Rasulullah mempunyai visi dan matlamat terhadap apa yang ingin dibawa. Malahan visi ini dijadikan matlamat hidup bagi para pengikutnya sehingga akhir zaman. Berkeyakinan tinggi, berpengaruh, mahir dalam berpolitik, bijak dalam berkomunikasi dan kesemua ciri kepimpinan yang di gariskan oleh cendikiawan Islam dan barat berkenaan dengan kepimpinan, ada dalam diri Rasulullah s.a.w.

6)Romantik
Rasulullah S.A.W merupakan suami yang romantik. Bukan sahaja sering membantu memasak dan menjahit, malahan Rasulullah selalu bergurau senda dengan isteri-isteri baginda. Diriwayatkan dari Aisyah bahawa : 

“Nabi Muhammad SAW adalah orang yang penyayang lagi lembut. Baginda akan menjadi orang yang sangat lembut dan paling banyak menemani ketika isterinya sakit.” (Bukhari dan Muslim)

Sifatnya sebagai manusia biasa memberi peringatan kpd kita bahawa kita sememangnya mampu menuruti setiap gerak dan langkah baginda s.a.w. Setiap apa yang ditinggalkan bukan untuk dikaji semata-mata. Ia lebih daripada itu. Marilah kita melakukan sebanyak mungkin sifat dan sikap yang ditunjuk oleh Rasulullah s.a.w. sebagai manusia unggul sepanjang zaman.
Read More

Fitrah Eidulfitri dan Merdeka

Allahu Akhbar, Allahu Akhbar, Allahu Akhbar
Alhamdulillah, bersyukur kita kepada Allah S.W.T tuhan sekalian alam yang mengurniakan nikmat iman dan Islam. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W keluarganya dan para sahabatnya. Kita bersyukur kepada Allah S.W.T kerana dapat merayakan Eidulfitri selepas sebulan kita beribadah puasa. Seharusnya madrasah Ramadhan yang kita lalui mampu mentarbiyyah diri untuk menjadi insan bertaqwa kepada Allah S.W.T selaras dengan falsafah Ramadhan yang dinyatakan oleh Allah S.W.T :  
"Wahai orang-orang yang beriman, telah diwajibkan ke atas kamu puasa sebagaimana telah diwajibkan ke atas orang-orang sebelum kamu, mudah-mudahan kamu bertaqwa" (Al Baqarah:183)
.
 Sebagaimana yang ditegaskan bahawa puasa disyariatkan bagi mencapai maqsud taqwa. Maka sambutan hari raya mestilah selari dengan apa yang di tuntut oleh syarak. Anas r.a menceritakan: “ Ketika Rasulullah S.A.W berhijrah ke Madinah, ada dua hari raya yang disambut meriah oleh penduduknya. Maka Baginda bersabda yang bermaksud: 

“Sesungguhnya Allah menggantikan untuk kamu dua hari yang lebih baik daripada itu, iaitu Eiduladha dan Eidulfitri .” (Hadis riwayat Abu Daud dan An-Nasa'i)

 Jelas di sini, Eidulfitri bagi umat Islam bukan sekadar satu perayaan, adat atau budaya. Eidulfitri merupakan anugerah Allah S.W.T sebagai tanda kasih dan rahmat-Nya kepada semua hamba-Nya yang taat serta ikhlas menjalankan ibadat puasa di bulan Ramadan. Maka seharusnya kita menyambut hari raya berteraskan konsep ketaqwaan. Bukan menyambutnya seperti kembali ke zaman jahiliyyah yang dipenuhi kepuasan nafsu, pembaziran, hiburan melampau dan tiada adab dalam pergaulan.

 Eidlufitri & Merdeka
Hakikat yang perlu untuk kita sedari bahawa Eidul Fitri diertikan sebagai ‘Kepulangan seseorang kepada fitrah asalnya yang suci‘. Dalam erti kata lain, kita kembali kepada fitrah bertuhankan Allah, memerdekakan diri daripada penguasaan syaitan dan nafsu. Sesungguhnya kita selaku manusia diberi ruang dan peluang oleh Allah untuk memilih ke arah taqwa atau fasik. Persoalannya sekarang jalan mana yang dipilih oleh kita dan bagaimana kita melalui jalan itu? Seharusnya jalan yang dipilih itu menyuntik kekuatan untuk memerdekakan diri daripada kemaksiatan dan kemurkaan Allah S.W.T. Firman Allah dalam ayat 7 dan 10 surah as-Syams :

Maksudnya : Demi diri manusia dan Yang menyempurnakan kejadiannya (dengan kelengkapan yang sesuai dengan keadaannya); Serta mengilhamkannya (untuk mengenal) jalan yang membawanya kepada kejahatan, dan yang membawanya kepada bertaqwa; Sesungguhnya berjayalah orang yang menjadikan dirinya – yang sedia bersih – bertambah-tambah bersih (dengan iman dan amal kebajikan), Dan sesungguhnya hampalah orang yang menjadikan dirinya – yang sedia bersih – itu susut dan terbenam kebersihannya (dengan sebab kekotoran maksiat).

Alhamdulillah Eidulfitri tahun ini disambut dengan kemeriahan sambutan kemerdekaan negara kali ke 55. Dalam kemeriahan itu, perlu untuk kita sedari adakah kita ini benar-benar sudah merdeka atau tidak. Terkadang kita merasakan kita sudah merdeka, tetapi malang sekali kita masih dijajah dan dizalimi oleh taghut moden. Apakah yang dimaksudkan dengan taghut moden ini?  

Kezaliman Taghut Moden
Taghut dari segi istilah ialah mereka yang melangkaui batas dengan menyamakan hak mereka sama dengan hak Allah dan malah menjadi sekutu bagi Allah S.WT. Allah S.W.T menegaskan untuk kita menghindari taghut dalam firmanNya yang bermaksud :

  “Dan sesungguhnya telah Kami bangkitkan di kalangan setiap umat itu seorang Rasul supaya ( menyeru) hendaklah kamu menyembah Allah dan jauhilah taghut.” (Al-Nahl :36)

 Dalam konteks moden kini, istilah taghut antara lainnya boleh dikaitkan dengan kelompok yang berpaksikan kepada pemikiran sekularisme, membudaya hedonism dan penganjur kehidupan penuh bebas tanpa sempadan. Belenggu kezaliman taghut moden ini menyebabkan kita meletakkan kebergantungan kita bukan lagi kepada Allah. Mungkin sahaja diletakkan ke atas pemerintah, para artis dan cendiakawan. Jika dari sudut pemikiran, taghut moden ini menyebabkan pemisahan agama dengan kehidupan samada dari sudut politik,ekonomi, hiburan dan perkara-perkara lain berkaitan. Natijah daripada belenggu kezaliman taghut moden ini melihatkan manusia lari dari fitrah asal insan, budaya seks bebas, pembuangan anak yang berleluasa, penceraian yang meningkat, ibubapa yang ditinggalkan, penyalahgunaan kuasa, rasuah dan banyak lagi. Jelas, kesemuanya berpunca daripada kemerdekaan yang dikecapi tidak berlandaskan fitrah suci yang hakiki.  

Kesimpulan
 Merdeka dan Eidulfitri tidak boleh dipisahkan. Kembali kepada fitrah yang suci serta bebaskan diri dari godaan syaitan dan desakan nafsu adalah KPI tarbiyyah Ramadhan yang mesti dipenuhi. Semoga sambutan Eidulfitri dan kemerdekaan Malaysia yang ke 55 ini mendatangkan rahmat dan keberkatan kepada kita supaya kita berjaya menjadi insan yang bertaqwa kepada Allah S.W.T dan bermanfaat kepada negara serta masyarakat.
Read More

Salam Eidulfitri Buat Sahabat2


الله اكبر الله اكبر لا إله إلا الله، والله اكبر، الله اكبر ولله الحمد

Allah Maha Besar, Allah Maha Besar, tidak ada ilah (Tuhan) yang berhak disembah selain Allah. Allah Maha Besar, Allah Maha Besar, dan segala puji hanya bagi Allah. 

Alhamdulillah Segala pujian kepada Allah azzawajalla, Tuhan semesta alam, selawat dan salam ke atas Nabi Muhammad S.A.W ,keluarga serta para sahabat yang mulia.

Alhamdulillah tiba kita pada Syawal yang mulia. Eidul fitri yang bermaksud kembali kepada fitrah. Fitrah asal kita yang suci bersih, patuh dan taat kepada perintah Allah S.W.T. Inilah Eidulfitri yang kita rayakan selepas sebulan kita ditarbiyyah untuk menjadi insan yang bertaqwa dalam Madrasah Ramadhan. Perlu kita muhasabah diri andaikata keluar kita dari bulan Ramadhan, tiada perubahan kebaikan pada diri kita. Semoga amalan seperti solat tahajud,sunat witir, qiamulail, tadarus al-quran dan sadaqah yang kita lakukan tidak sekadar berhenti pada bulan Ramadhan. Berkata Imam Hassan Al-Basri:

"Jadilah kamu hamba Allah (yang beribadah sepanjang masa, tempat dan suasana) jangan menjadi hamba Ramadhan (yang hanya tekun beribadah di bulan Ramadhan)".

Di kesempatan ini juga saya memohon kemaafan buat semua followers, readers Hakikat Ketelusan dan juga buat semua yang mengenali diri ini diatas penulisan yang tidak disenangi, tutur bicara yang melukai dan tingkah laku yang tersakiti. Semoga semua teguran, nasihat dan kritikan dari sahabat-sahabat menjadi tazkirah dan nasihat agama yang bermanfaat buat diri ini dalam meniti kehidupan hingga ke akhir hayat begitu juga sebaliknya buat sahabat-sahabat. Semoga tarbiyyah Ramadhan dan keberkatan Syawal ini menjadi titik tolak kepada ukhwah yang lebih mantap dan saling bermaaf-maafan sesama kita .

Jemput datang beraya ke rumah saya di Puchong Permai.  =)

Taqabbalullahu minna waminkum
Kullu Am Wa Antum Bil khair
Salam Eidulfitri Maaf Zahir Batin.
Read More

Hakikat Fasa Terakhir Ramadhan

Tarbiyyah Ramadhan mendidik kita untuk menjadi insan bertaqwa telah membuatkan kita melazimi tadarus dan membaca Al-Quran. Sejarah telah membukti kebangkitan pemuda bermula dari asas kefahaman al-Quran yang tinggi. Selain dari Rasulullah S.A.W dan para sahabat r.hum, contoh pemuda yang hatinya dekat dengan Al-Quran ialah Sultan Muhammad Al-Fateh pembuka kota Constantinople yang khatam Al-Quran seawal usia mudanya. Kecintaan terhadap Rasulullah S.A.W dan rasa kebertanggungjawaban beliau pada hadis pembukaan Constantinople membuatkan beliau bersama tenteranya berjaya membuka Constantinople pada usianya selaku pemuda. Seorang lagi ialah Salahuddin Al-Ayubi pembebas Palestin, ini juga pemuda quran yang seharusnya dijadikan model ikutan kita. Salahuddin pernah berkata,

"Ketika Allah menganugerahkan aku bumi Mesir, aku yakin DIA juga bermaksud Palestin untukku. Ini menyebabkan DIA memenangkan perjuangan Islam".
Pemuda & Al-Qadr
Alhamdulillah dalam kesibukan kita seharian,akhirnya kita tiba pada 10 hari terakhir di bulan Ramadhan. Fasa inilah terdapat malam yang dikatakan Allah S.W.T melipat gandakan pahala menyamai 1000 bulan seperti mana firman Alah S.W.T dalam surah Al Qadr ayat 1-3 yang bermaksud: 

“Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada (malam) Lailatul Qadar. Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran Lailatul Qadar itu?. Lailatul Qadar itu adalah malam yang lebih baik daripada seribu bulan.
Perbahasan yang panjang tentang tarikh bila berlaku Lailatul Qadr ini, namun tidak juga kita ketahui tarikh sebenarnya, akan tetapi Rasulullah S.A.W bersabda:
 “Carilah Lailatul Qadar pada malam-malam ganjil dari sepuluh malam terakhir bulan Ramadhan.”- (Hadis riwayat Bukhari)
Isyarat dari Rasulullah S.A.W itu menggambarkan kemungkinan tarikh lailatul qadar itu pada malam 21,23,25,27 atau 29. Wallahualam.. Yang pasti seharusnya hadis tadi cukup menaikkan semangat kita selaku pemuda untuk memenuhi masjid dengan beriktikaf dan qiamulail serta istiqomah membaca al-quran agar berjaya mencapai malam al-qadr. Inilah generasi pemuda yang diharapkan lahir hasil dari madrasah Ramadhan.
Lailatul Qadr vs Lailatul Kamdar
Bukanlah Kamdar mahupun Jakel hatta Gulatis House yang ingin disalahkan, namun jika kita lihat pada 10 malam terakhir inilah masjid semakin lengang sedangkan Jalan Tunku Abdul Rahman, Jusco, Sogo dan yang seangkatan dengannya ni dipenuhi umat Islam yang semangat membeli persiapan raya sehingga melepaskan peluang mendakap lailatul qadar. Dalam masa yang sama juga kita dapat lihat bagaimana pemuda yang seharusnya menjadi benteng utama Islamyang siangnya alim berpuasa tetapi malamnya bersama yang bukan muhrimnya bermesra-mesraan membeli pakaian raya sedondon.

Tidak salah untuk membeli pakaian raya, akan tetapi utamakan ibadah terlebih dahulu. Selesai solat isya' dan tarawikh berjemaah serta tadarus, pergilah membeli belah. Akan tetapi janganlah bercampur di antara lelaki dan perempuan. Juga yang penting selepas membeli ingat untuk beriktikaf di Masjid serta bersahur dan melakukan solat sunat dan subuh secara berjemaah. Daripada Uthman Bin Affan r.a berkata, Sabda Rasulullah S.A.W:

"Barangsiapa yang solat isyak berjamaah maka seakan-akan dia telah solat sunat setengah malam. Dan barangsiapa solat subuh secara berjamaah maka seakan-akan dia telah melaksanakan solat malam satu malam yang penuh." (Hadis riwayat Muslim).

Juga daripada Saidatina Aishah r.ha,Rasulullah S.A.W bersabda:
"Solat dua rakaat (sebelum) Solat Subuh itu lebih baik daripada dunia dan segala isi buminya" (Hadis riwayat Muslim)
Kesimpulan
Akhirnya saya mengingatkan buat diri juga sahabat2 agar sama2 kita manfaatkan fasa terakhir Ramadhan ini dengan pertingkatkan amalan-amalan soleh agar berjaya mendakap lailatul qadr dan sekaligus berjaya merealisasikan falsafah Ramadhan yang dipegang dengan tercapainya KPI Ramadhan itu sendiri.



Read More

BADAR KUBRA IBRAH YANG ISTIMEWA


Kesetiaan Saidina Abu Bakar, Saidina Omar dan Miqdad  Al-Aswad disambut oleh Sa’ad Bin Muaz lalu berdiri dan berkata dengan kata-kata yang memberi keyakinan pada Rasulullah S.A.W 
 
“Kami telah beriman kepada Anda. Kami telah membenarkan Anda. Andaikan Anda bersama kami terhalang lautan lalu Anda terjun ke dalam lautan itu, kami pun akan terjun bersama Anda.” Sa’ad r.a juga mengatakan, “Boleh jadi Anda bimbang, jangan-jangan kaum Ansar tidak mau menolong Anda kecuali di perkampungan mereka (Madinah). Sesungguhnya aku berbicara dan memberi jawaban atas nama orang-orang ansar. Maka dari itu, majulah seperti yang Anda kehendaki….” 
 
Kata-kata yang dilafazkan oleh seorang sahabat Rasulullah S.A.W ini menaikkan semangat para sahabat untuk bertempur di medan Badar. Strategi  perang yang dicaturkan oleh Rasulullah S.A.W di patuhi oleh para sahabat, berkat doa Rasulullah S.A.W di malam syahdu 17 Ramadhan tahun ke 2 Hijrah melihatkan Allah S.W.T menurunkan bantuan tentera di kalangan malaikat bagi membantu Rasulullah S.A.W bersama 313 orang tentera Islam bagi memerangi 1000 orang tentera kafir Quraisy. Ketaqwaan kepada Allah S.W.T meresap ke dalam jiwa parajurit. Tentera Islam senantiasa menyebut “Ahad(Esa)! Ahad(Esa)! Ahad(Esa)! sambil menghayun pedang ke arah tentera kuffar yang ramai. Seorang demi seorang syahid di jalan Allah, namun Rasulullah S.A.W terus memberi semangat kepada tenteranya dengan sabdanya yang bermaksud:
 
“Demi Allah, tidaklah seseorang memerangi mereka pada hari ini, kemudian dia terbunuh dengan sabar dan mengharap pahala serta terus maju dan pantang mundur, melainkan pasti Allah akan memasukkannya ke dalam surga.” Mendengar ini, tentera Islam semakin berkobar-kobar semangatnya. 
 
Kemenangan Bagi Kaum Muslimin 
 
Akhirnya pasukan musyrikin dikalahkan dan terpaksa berundur. Pasukan kaum muslimin berhasil membunuh dan menangkap beberapa orang di antara mereka. Ramai pembesar-pembesar Quraisy yang terkorban antaranya Abu Jahal yang dibunuh oleh 2 orang pemuda Mu'az bin Ammar bin Jamooh dan Mu'az bin Afra. Selain terbunuh ramai di kalangan tentera dan pembesar Quraisy melarikan diri kembali ke Makkah. 70 orang kaum Quraisy terbunuh dan 70 yang lain tertawan. Manakala tentera Islam pula hanya 14 yang syahid (6 dari Muhajirin dan 8 dari Ansar). Tentera Islam mendapat kemenangan dari sebab keteguhan dan ketabahan hati mereka. Demikianlah perang badar, pasukan kecil mampu mengalahkan pasukan yang lebih besar dengan izin Allah. Allah berfirman, 
 
…Betapa banyak golongan yang sedikit dapat mengalahkan golongan yang banyak dengan izin Allah. Dan Allah beserta orang-orang yang sabar.” (Al Baqarah: 249) 
 
Keistimewaan Badar 
 
Tiap kali Ramadhan tiba pasti perang ini menjadi sebutan. Malahan dalam nasyid dan selawat juga terdapat cerita berkenaannya. Mengapa perang ini begitu istimewa? Apa yang perlu kita fahami selaku abna’ul harakah (pendokong gerakan Islam)dari perang Badar ini? Berikut adalah sebahagian daripada keistimewaannya:-
 
Pertama, kerana Rasulullah S.A.W beserta pasukannya mengalami kemenangan meskipun hanya berjumlah 313 orang sahabat menentang 1000 orang tentera Quraisy. Ini mengingatkan kepada kita bahawa yang sedikit bukan ukuran untuk mudah dikalahkan, yang penting kesungguhan, keutuhan jati diri, kerjasama, perancangan yang hebat dan tawakkal sepenuh hati kepada Allah S.W.T. Ini semua menjadi punca kepada sesuatu kejayaan.
 
Kedua, Baginda mengadakan mesyuarat terlebih dahulu sebelum berangkat ke Badar dan begitu juga ketika menentukan nasib para tawanan yang berjumlah seramai 70 orang, Baginda meminta pandangan dua orang sahabatnya yang terdekat iaitu Saidina Abu Bakr dan Saidina Omar Bin al-Khattab untuk menyelesaikan masalah tersebut. Pengajaran utama buat kita agar bermesyuarat terlebih dahulu dalam membuat keputusan besar.
 
Ketiga, usaha berdoa sebelum dan semasa perang Badar terjadi menunjukkan peranan doa yang diajarkan oleh Baginda menjadi teras dan pemangkin sebelum dan ketika sesuatu tindakan dibuat, ia bertujuan untuk mendapatkan keredaan dan restu Allah. Ini adalah azimat penting buat setiap ahli jemaah.
 
Keempat, walaupun menghadapi suasana getir dalam peperangan, ia sedikitpun tidak menghalang umat Islam daripada terus berpuasa, apatah lagi ia merupakan arahan Rasulullah dan pelengkap kepada rukun Islam yang lima.
 
Kelima, keterbukaan Rasulullah S.A.W menerima pandangan sahabat ketika mencatur strategi. Sesungguhnya tindakan Baginda itu tidak sedikitpun mengurangkan kedudukannya sebagai seorang pemimpin tertinggi umat Islam. Ini mendidik kita agar setiap pemimpin berlapang dada dan bersifat terbuka dalam menerima pandangan dari ahli.
 
Keenam, kepatuhan kepada arahan pimpinan yang tidak berbelah bagi dalam perkara yang tidak menyanggah agama, menjadi faktor utama keberhasilan mendapatkan kejayaan. Perang Badar seharusnya mendidik kita selaku jundi untuk taat dan wala' kepada kepimpinan dan tidak menjadi ahli yang menentang dan menurut kepala sendiri kerana tidak bersetuju dengan pemimpin.
 
Ketujuh, mengetahui sumber peralatan perang pihak musuh seperti pengetahuan Nabi terhadap bilangan unta yang dimiliki tentera Quraisy boleh membantu melancarkan strategi peperangan. Sekaligus mengajar kita untuk mengumpul dan menguasai data pihak musuh sebelum berhadapan dengan mereka.
 
Kelapan, menghantar wakil bertemu pihak musuh dari kalangan individu yang hebat seperti Saidina Hamzah, Saidina Ali boleh menggerunkan pihak musuh, kerana mereka beranggapan bahawa pihak umat Islam memiliki pasukan perang terkuat yang sukar dikalahkan. Seharusnya kita juga bijak melatih petugas untuk menjadi hebat ketika berhadapan dengan pihak musuh.
 
Kesembilan, menghalakan niat dan matlamat perang menghadapi musuh adalah kerana Allah dan meninggikan syiar-syiar agama-Nya, bukan atas tujuan meraih harta dan habuan dunia yang melalaikan. Perkara seperti ini kebiasaanya mudah dinyatakan pada bibir ahli, andai hatitidak di jaga pasti nafsu mengalihkan niat dan matlamat ikhlas kita.
 
Kesepuluh, cara berfikir yang bernas patut dilontarkan ketika mengadakan sesuatu perbincangan untuk mencari jalan penyelesaian seperti yang dilakukan oleh Abu Bakar dan Omar bagi menyelesaikan isu tawanan perang. Setiap dari ahli jemaah seharusnya berfikiran kritis dan mampu melontarkan idea yang bernas.
 
Kesebelas, menstrategikan perancangan bagi menghadapi pihak lawan ketika dalam perjalanan menuju ke Badar. Cadangan strategi perang untuk menguasai mata air dan sumur membuahkan hasil yang baik untuk tentera Islam. Lantaran ini mendidik kita samada kepimpinan mahupun ahli mestilah stategis dalam mencatur perancangan.
 
Keduabelas, semangat para pemuda mempertahankan Allah dan Rasulullah yang ditonjolkan oleh Saidina Ali, Mu'adz bin Afra dan Mu'adz bin Ammar dalam menentang musuh di Badar. Pemuda adalah benteng utama jemaah, sewajibnya pemuda terlebih dahulu tampil kehadapan dengan semangat dan ilmu pengetahuan yang tinggi bagi mempertahankan jemaah.
 
 
Kesimpulan 
 
Keimanan, ketabahahan, kesetiaan dan kesabaran menjadi kayu ukur ketaqwaan para ahli Badar dan ini seharusnya menjadi pencetus motivasi buat kita. Dari permulaan peristiwa sehingga pengakhiran perang Badar ini memberikan banyak pengajaran buat kita. Bermula dari perancangan yang strategik sehinggalah pendambaaan syahid oleh ahli Badar seharusnya kita jiwai dan tidak kita lupa supaya menjadi pedoman harian di bulan Ramadhan ini, seterusnya dalam kehidupan seharianselagi nyawa dikandung badan.
Read More

Akhlaq Berorganisasi



"Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredhaan) Allah dan (balasan baik) Hari Akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang)."
[al-Ahzab 33:21]

Islam itu datang bersama akhlaq. Seperti yang dinyatakan dalam ayat Al-Quran di atas bahawa Rasulullah S.A.W itu di utuskan sebagai ikutan buat ummatnya.  Akhlaq sangat penting bagi kita ummat Islam. Malahan ianya juga menjadi silang fungsi bagi pembentukan mukmin.  Dalam Islam kita cukup faham aqidah dan ibadah adalah perkara asas utama dalam Islam. Akan tetapi ianya tidak lengkap tanpa akhlaq. Ibaratnya seperti sebuah rumah.. Aqidah merupakan asas dan tapak kepada rumah, ibadah merupakan dinding rumah manakala akhlaq merupakan atap kepada rumah tersebut.

Akhlaq Dalam Organisasi.

Kata-kata yang cukup masyur dari Saidina Umar r.a

 "Tidak tertegak Islam melainkan dengan usaha berjama’ah. Tidak bermakna jama’ah melainkan dengan pimpinan. Dan tidak bermakna kewujudan pimpinan kecuali diberi keta’atan oleh anggota kepadanya".

Dalam kita berorganisasi pasti ada pemimpin(qiadi) dan yang dipimpin (jundi). setiap dari mereka memainkan peranan masing-masing dalam menghidupkan dan menggerakkan sesebuah organisasi. Dalam banyak perkara yang di catur dan strategi pengurusan yang dibentuk, ianaya pasti akan pincang atau lemah tanpa ada akhlaq dalam berorganisasi. Bagi seorang yang berorganisasi, seharusnya 10 muwasaffat tarbiyyah yang di gariskan oleh As-Syahid imam Hassan Al-Banna hasil dari rujukan Al-Quran dan As-Sunnah seharusnya di jadikan penerapan dalam diri kita. Malahan ianya disokong lagi dengan 10 rukun baiah seharusnya menjadikan seseorang yang berorganisasi baik ianya qiadi atau jundi lebih berperanan dan amanah.

Lumrah dalam adik beradik pasti ada sikit pertelingkahan, begitu juga dalam kita berorganisasi. Persoalan yang timbul ialah bagaimana akhlaq kita menyelesaikan konflik? Perlukan kita meninggikan suara kepada orang yang lebih tua dari kita? Perlukah kita canang dan dedahkan kebencian kita serta keaiaban pemimpin kita di dalam media,blog atau sebagainya? Adakah ini akhlaq yang kita pelajari dari Rasulullah S.A.W? Bukankah Rasulullah S.A.W melarang kita meninggikan suara kepada orang tua, menutup aib sahabat, memaafkan orang lain serta berlapang dada?

Imam Ghazali r.a mengatakan:

"Akhlak ialah suatu keadaan yang tertanam di dalam jiwa yang menampilkan perbuatan-perbuatan dengan senang tanpa memerlukan pemikiran dan penelitian. Apabila perbuatan yang terkeluar itu baik dan terpuji menurut syara dan aqal, perbuatan itu dinamakan akhlak yang mulia. Sebaliknya apabila terkeluar perbuatan yang buruk, ia dinamakan akhlak yang buruk."


Saya mohon maaf andai ada yang tidak bersetuju dengan huraian saya, tetapi saya minta kita selaku umat Rasulullah S.A.W harus fikir untuk mencontohi teladan Rasulullah S.A.W. Buangkan ego kita yang menebal dalam berorganisasi, tingkatkan rasionalsi dan kurangkan emosi dalam memimpin, utamaka kepentingan umum berbanding kepentingan diri dan sentiasalah mendekatkan diri kepada ilahi. Moga Allah S.W.T mengampunkan dosa kita dan memberi ruang untuk kita memegang amanah dengan bertanggungjawab serta lebih berakhlaq di dalm berorganisasi. Saya akhiri penulisan dengan sabda Rasulullas S.A.W :

"Sesungguhnya orang yang paling aku cintai di antara kalian dan yang paling hampir tempat duduknya dengan aku pada Hari Kiamat adalah orang yang paling baik akhlaknya. Dan sesungguhnya orang yang paling tidak aku sukai dan paling jauh tempat duduknya dari aku pada Hari Kiamat adalah orang yang banyak berbicara, bermulut besar dan sombong"  (Riwayat al-Tirmizi)


Read More

MAULIDUR RASUL : Sambutan Diingat Sunnah Dilupa

Alhamdulillah bersyukur kita ke hadrat Allah dengan nikmat iman,islam dan kehidupan yang di kurniakanNya. Selawat dan salam buat junjungan besar kita nabi Muhammad S.A.W. Semuanya bermula dengan usaha dakwah baginda S.A.W dalam menyambung tugas para nabi dalam menyampaikan masej dakwah dan kalimah tauhid. Tanpa pengorbanan yang baginda S.A.W bersama para sahabat r.hum mungkin kita hari ini berada dalam agama majusi, hindu, buddha mahupun kristian. Dengan usaha yang di bawa oleh baginda S.A.W maka kita dapat mengetahui dan memahami apa itu Islam,. Firman Allah S.W.T dalam surah At-Taubah ayat 33. 

Yang bermaksud: Dia lah yang telah mengutus RasulNya (Muhammad) dengan membawa petunjuk dan ugama yang benar (ugama Islam), untuk dimenangkan dan ditinggikannya atas segala ugama yang lain, walaupun orang-orang musyrik tidak menyukainya. 

Sambutan Diingat Sunnah Dilupa 

Alhamdulillah apabila tiba hari kelahiran Rasulullah S.A.W, pasti akan ada perarakan, selawat, ceramah dan program-program mengingati junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W. Akan tetapi malangnya, ianya berterusan selama seminggu sahaja, paling lama pun sebulan. Selepas tu selawat, masjid dan surau yang penuh kembali sepi. Tunggu maulidurrasul tahun depan pula baru orang kembali ke masjid dan berarak sambil berselawat. Ianya berterusan begitu dan rancangan tv juga pada awal maulidur rasul menayangkan cerita berunsur Islam, selepas seminggu kemudian rancangan maksiat dan budaya hedonisme kembali merancakkan arena hiburan tanah air. 
Sememangnya maulidur rasul ini tiada di zaman rasulullah dan sahabat, ini kerana pada ketika itu mereka menyayangi Rasulullah S.A.W malahan sentiasa mengamalkan sunnah baginda S.A.W. Akan tetapi zaman kita kini bagaimana? Tujuan kita mengadakan sambutan maulidur rasul adalah ingin mewujudkan kecintaan kita kepada Rasulullah. Zaman kini melihatkan kepada kita ada insan yang mengaku ummat Rasulullah S.A.W akan tetapi tidak pun mengetahui sirah dan tidak juga mengamalkan sunnah Rasulullah S.A.W. Zaman kini juga melihatkan manusia semakin tega melakukan maksiat malahan berbangga dengan kemaksiatan. Ianya semakin menepati sabda Baginda SAW bermaksud: 

 “Ketika dunia berada hampir di penghujungnya, kamu dapati maksiat dilakukan secara terang terangan. Zina dilakukan dengan sewenang-wenangnya persis seperti perilaku haiwan. Yang tinggal hanyalah manusia yang keji dan buruk perangainya. Ketika itulah berlakunya kiamat.” 
(Hadis riwayat Muslim) 

Sayang seribu kali sayang apabila sambutan maulidur rasul yang disambut secara besar-besaran tetapi tidak mengetuk pintu hati kecil kita untuk lebih mencintai Rasulullah S.A.W. Sunnah Rasulullah S.A.W semakin dilupai. Hari Jumaat yang hadir tidak diserikan dengan bacaan surah al-kahfi, pagi-pagi yang kita lalui tidak disemai dengan solat dhuha, zikir dan istighfar yang diamalkan oleh Rasulullah S.A.W telah diganti dengan muzik yang melalaikan..Sunnah yang paling besar malah ianya adalah tuntutan Allah S.W.T ialah meninggikan kalimah tauhid serta berkata benar kepada pemimpin yang zalim juga tidak kita laksanakan. Banyak lagi amalan sunnah Rasullah S.A.W yang kita tidak terapkan dalam kehidupan seharian. 

Mengakhiri penulisan saya pada kali ini, saya mengajak sahabat2 untuk kita sama2 bermuhasabah diri sejauh mana kasihnya kita kepada Rasulullah S.A.W. Sebanyak mana sunnah Rasulullah yang telah kita amalkan serta sedalam mana sirah Rasulullah S.A.W yang telah kita kuasai. Akhirnya marilah kita berpegang kepada apa yang disampaikan oleh Rasulullah S.A.W dan kita martabatkan kalimah tauhid sejajar dengan sabda Rasulullah S.A.W : 

“Aku tinggalkan kamu dua perkara, kamu tidak akan sesat selama mana kamu berpegang dengan kedua-duanya, iaitu kitab Allah (Al-Qur’an) dan sunnahku.” – Riwayat Abu Daud.
Read More

Lakaran Hijrah Shuhaib Ar Rumi

Mendapat gelaran Ar-Rumi memungkinkan untuk orang berfikir bahawa dia berketurunan dari bangsa Rom, akan tetapi ianya sama sekali meleset. Sebenarnya beliau berketerunan jati Arab. Berayah dari suku Numair dan ibu dari suku Tamim. Beliau dilahirkan di Mosul, 32 tahun sebelum Hijrah. Ayahnya merupakan seorang gabenor wilayah Al-Ablah pada masa pemerintahan Kisra . Memiliki perwatakan yang sederhana, berkulit coklat kemerah-merahan, bentuk tubuh yang sederhana dan rambut yang lebat. Siapakah beliau??? Beliau ialah Shuhaib Ar-Rumi atau nama lengkapnya Shuhaib bin Sinan bin Malik An-Numairi.

Sebelum Memeluk Islam Shuhaib Ar-Rumi melalui detik-detik sukar sebelum beliau tiba ke Mekah. Beliau melalui zaman kecilnya dalam suasana bahagia dan dibesarkan di tengah-tengah kehidupan istana milik ayahnya. Suatu hari, wilayah kekuasaan ayahnya diserbu oleh tentera Rom. Tentera Rom menawan sebahagian besar penduduk, di antaranya adalah Shuhaib yang ketika itu masih kecil. Semasa pencerobohan itu, Shuhaib ditangkap dan dibawa oleh pihak musuh berkelana ke pelbagai daerah, hingga akhirnya beliau dibeli oleh Abdullah bin Jad’an yang berasal dari Mekah. Setelah menghabiskan masa kanak-kanak dan remajanya di wilayah Rom, beliau akhirnya mahir berbahasa Rom. Ketelusan beliau dalam bekerja telah menarik hati dan menimbulkan rasa kagum tuannya terhadap kecergasan dan kecerdasan beliau. Akhirnya, tuannya memerdekakannya dan mengajaknya untuk menemaninya berniaga.

Memeluk Islam 
Ketika cahaya Islam bersinar di kota Makkah, Suhaib merupakan antara insan yangcepat menyambut seruan kebenaran, beliau pergi ke Dar Al-Arqom, dan mennyatakan keIslamannya di hadapan Rasulullah S.A.W. Panggilan iman yang tidak dapat dibendung atau mungkin pengaruh kepribadian Rasulullah S.A.W yang kesan-kesannya telah mengisi hati beliau dengan hidayah dan kasih sayang serta bosan dengan kesesatan dan kepalsuan hidup selama ini menyebabkan beliau tertarik dengan ajaran yang dibawa oleh Rasulullah S.A.W. Shuhaib telah menggabungkan dirinya dengan kafilah orang-orang beriman. Bahkan ia telah membuat tempat yang luas dan tinggi dalam barisan orang-orang teraniaya dan tersiksa! Ketika seruan Hijrah Nabi Muhammad S.A.W untuk berhijrah ke Madinah, para sahabat yang telah berhijrah lebih dahulu, Shuhaib turut menyahut seruan berhijrah, beliau keluar untuk menyusul ke hijrah ke Madinah, namun perkara ini telah di hidu oleh kafir Quraish yang mengejar untuk menghalangi dan menahan beliau dari berhijrah. Kerana merasa dikejar, Shuhaib lalu berhenti dan berdiri di tempat yang tinggi, mengambil anak panah dari sarungnya dan ditujukan kepada para pengejarnya, seraya berkata:

"Hai kaum Quraisy, kalian telah mengetahui demi Allah bahwa aku adalah seorang yang mahir menggunakan panah dan senantiasa tepat membidik sasarannya. Dan, demi Allah, kalian tentu tidak akan mampu mencapai tempatku ini, kerana setiap anak panah akan membunuh seorang dari kalian. Jika panahku habis, kalian akan kulawan dengan pedangku." 

Seorang di antara pengejar berkata: "Sungguh, kami tak akan membiarkanmu pergi dengan membawa diri dan hartamu. Dulu engkau datang ke Makkah sebagai seorang miskin yang hina, dan kemudian kini menjadi kaya raya." 

Shuhaib lalu menjawab: Bagaimanakah pendapat kalian, jika seluruh harta yang ada padaku, kuserahkan kepada kalian dan aku dibolehkan meneruskan perjalanan?" 

Mereka serentak menjawab: "Ya."

Kemudian Shuhaib menunjukkan kepada mereka, tempat di rumahnya yang dipergunakan untuk menyimpan hartanya. Para kafir-Quraisy segera menuju rumah Shuhaib di Makkah dan mengambil hartanya. Mereka lalu melepaskan Shuhaib.

Dengan bergegas, Shuhaib menuju Madinah, meluru menyelamatkan agamanya untuk mencari redha Allah S.W.T dan RasulNya. Dia tidak merasa kecewa sedikit pun dengan harta yang telah diinfakkannya guna memetik kehidupan yang lebih segar yang didambakannya.Hal itu dibenarkan oleh wahyu dari langit dan Jibril a.s sebagai saksi.Firman Allah SWT:

"Dan di antara manusia ada orang yang menjual dirinya kerana mencari redha Allah, dan Allah Maha Penyantun kepada hamba-hambaNya." (Al-Baqarah : 207).

Menurut catatan tafsir ibnu katsir 

Berkata Ibnu Abbas, Anas, Said bin Musayyab dan beberapa sahabat yang lain bahwa ayat tersebut diturunkan berhubungan dengan peristiwa Shuhaib bin Sinan Ar-Rumi, yang akan mengikuti Nabi saw. berhijrah ke Madinah. Oleh orang-orang Quraisy dia dilarang berhijrah dengan membawa kekayaannya. Shuhaib tidak mengindahkan larangan orang-orang Quraisy itu bahkan dengan segala senang hati dan penuh keikhlasan ia menyerahkan semua kekayaannya asal ia dibolehkan berhijrah ke Madinah, maka turunlah ayat tersebut.

Setelah itu Sayyidina Umar bin Khattab beserta beberapa orang sahabat pergi menemui Suhaib dan berkata, "Daganganmu benar-benar beruntung." Berkata Suhaib, "Semoga dagangan saudara-saudara tidak rugi. Kedatangan saudara-saudara ini untuk apakah sebenarnya?" Sayyidina `Umar r.a. memberitahukan bahwa Allah swt. telah menurunkan ayat ini berhubung dengan peristiwa saudara.
Golongan kedua, yaitu orang-orang mukhlis seperti halnya Shuhaib yang selalu sama ucapan dan perbuatannya, kata-katanya sesuai dengan apa yang ada di dalam hatinya, bukan lain di mulut lain di hati, tidak bermuka dua. Mereka dengan penuh ikhlas mahu menjual dan mengorbankan dirinya dan semua yang ada padanya, demi untuk memperoleh redha Allah S.W.T.

Kekukuhan iman Shuhaib Ar-Rumi r.a juga dinyatakan melalui kata-katanya :

“Tidak ada peperangan sedikitpun yang dilakukan Rasulullah SAW kecuali aku ikut bersamanya. Tidak ada bai’ah yang dilakukukan oleh Rasulullah kecuali aku juga ikut di dalamnya. Tidak ada sirriyah (ekspedisi) sedikitpun kecuali saya ada didalamnya. Tidak ada penaklukan sedikitpun kecuali aku ada di sebelah kiri atau kanannya Rasulullah saw. Tidak ada ketakutan sedikitpun dihadapan mereka kecuali aku ada dihadapan mereka dan tidak di belakang mereka kecuali aku ada di belakang mereka. Dan tidak ada perlakuan bersama Rasulullah SAW antara aku dan musuh sedikitpun sampai Baginda meninggal kecuali aku berada disisinya”. 

Hebat lakaran sejarah hijrah Shuhaib Ar Rumi yang perlu untuk kita ikuti. Begitulah keiman para sahabat r..hum yang sanggup mengorbankan harta dan jiwa mereka untuk Islam. Moga Allah S.W.T memberi kita ruang untuk berjuang dan syahid.
Read More

HIJRAH ITU PENGORBANAN

Salam Maal Hijrah,
Ketibaan bulan Muharam mengundang pengertian yang besar bagi umat Islam. Bulan Muharam inilah bulan yang dikatakan bulan Hijrah, bulan yang mana mengimbau kembali bagaimana penghijrahan Nabi Muhammad S.A.W bersama umat Islam Makkah atau di kenali sebagai kaum Muhajirin menuju ke Madinah Al-Munawarah yang mana disambut dan dibantu oleh kaum Ansor yakni penduduk Kota Madinah Al-Munawarah.

Hijrah itu menuntut pengorbanan. Malahan tanpa pengorbanan mungkin sahaja hijrah itu tidak dapat dijayakan. Sebagaimana yang di ketahui bagaimana Rasulullah S.A.W berhijrah ke Makkah melalui jalan jauh, Asma’ Abu Bakar r.ha membawa makanan untuk diberikan kepada Rasullullah S.A.W yang bersama ayahnya Saidina Abu Bakar r.a dalam keadaan sarat mengandung, kemudiannya kita ketahui Saidina Abu Bakar r.a di patuk ular ketika melindungi Nabi Muhammad S.A.W, ini semua adalah pengorbanan. Sahabat-sahabat r.ahum juga melalui proses pengorbanan yang tinggi dalam penghijrahan mereka. Salah seorangnya ialah Syuhaib Ar-Rumi yang mana sanggup mengorbankan segala hartanya yang banyak di Makkah untuk berhijrah ke Madinah dengan sehelai sepinggang atas tuntutan yang dilakukan oleh kaum musyrikin Makkah. Kisah penghijrahan beliau diceritakan di dalam Al-Quran, Allah S.W.T.berfirman, maksudnya:

"Dan di antara manusia ada orang yang mengorbankan dirinya kerana mencari keredhaan Allah dan Allah itu Maha Penyantun terhadap hamba-hambaNya" (al-Baqarah: 207)
 
Hijrah Zaman Moden

Sabda Rasulullah S.A.W :  

“Tiada hijrah selepas al-Fath (Pembukaan Makkah), tetapi jihad dan niat. Dan apabila kamu dikerah untuk keluar berjihad, maka keluarlah kamu” (Riwayat al-Bukhari, Muslim dan lain-lain)

Daripada Abdullah bin ‘Amru bin al-‘Aas, Nabi S.A.W bersabda yang maksudnya:

“Sesungguhnya hijrah ada dua unsur. Satu daripadanya ialah kamu meninggalkan kejahatan dan kedua kamu berhijrah kepada Allah dan Rasul-Nya. Dan tidak terputus hijrah selagi taubat diterima. Taubat akan terus diterima sehingga matahati terbit dari barat. Apabila matahari telah terbit dari barat, akan dicopkan ke atas setiap hati manusia apa yang telah ada padanya. Peluang beramal sudah tiada lagi.” (Riwayat Ahmad)

Menurut hadis ini, jelas kepada kita bahawa kita seharusnya melakukan proses penghijrahan niat dengan berjihad di jalan Allah S.W.T dalam kehidupan kita yang semakin mencabar ini. Dalam masa yang sama, perlu juga untuk kita fahami bahawa kita perlu melakukan perubahan dari kejahilan merangkumi setiap aspek hidup samada pemakaian, politik, pemikiran, dan keseluruhannya. Ianya juga merangkumi ideologi dari sekularisme kepada Islam yang syumul. Ini kerana hadis tersebut juga menyatakan kepentingan untuk kita berhijrah meninggalkan kejahatan dan kembali kepada Allah dan rasulNya walaupun ianya sukar untuk kita lakukan kerana ianya bercanggah dengan hawa nafsu yang inginkan hiburan dan kesenangan duniawi.

Hijrah adalah suatu bentuk perubahan yang memerlukan pengorbanan. Tanpa pengorbanan yang ikhlas, proses penghijrahan sukar untuk dilakukan.  Pengorbanan pula menuntut semangat jihad dan keyakinan yang tinggi dalam diri. Justeru, perubahan dan pengorbanan adalah suatu tuntutan hidup, iaitu berubah dari suatu yang buruk kepada yang baik, dari yang baik kepada yang terbaik.Oleh yang demikian marilah kita sama-sama menghayati bulan Muharam ini beserta pengertian pengorbanan agar kita dapat menghijrahkan diri kita untuk menjadi hamba Allah S.W.T dan umat Rasulullah S.A.W yang bertaqwa.
Read More

Hakikat Post Terbaik


Sahabat

Hakikat Media